"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja lelaki hampir diculik dua individu ketika berjoging

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Remaja lelaki berdepan detik cemas apabila hampir menjadi mangsa culik dua individu ketika sedang berjoging di Seksyen 13, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia 15 tahun pada jam 10.42 malam tadi.

Katanya, dalam kejadian pada jam 5.15 petang itu, mangsa sedang berjoging seorang diri sebelum didatangi sebuah kereta lama berwarna kelabu dipercayai jenis Proton Saga atau Iswara yang dinaiki dua lelaki.

"Salah seorang suspek kemudian turun dari kereta lalu mengacukan pisau dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta.

"Pengadu enggan dan bergelut dengan suspek sebelum berjaya melarikan diri ke pondok pengawal kondominium berdekatan untuk mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibat pergelutan itu, remaja berkenaan mengalami kecederaan kesan luka pada pipi sebelah kanan serta luka di bahagian lengan kanan dan kiri.

Katanya, pengadu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohamad Sabri Abd Rani di talian 017-2892628," katanya.

Tiada ulasan: