DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

Kecederaan dialami Nur Qasyifa Hazlina dalam nahas langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin di Bukit Katil, semalam.
MELAKA – Seorang murid perempuan tahun dua cedera parah di dahi, manakala kakaknya luka di beberapa anggota badan dalam nahas langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin di Bukit Katil di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nur Qasyifa Hazlina Mohd. Hayider, 8, dan kakaknya, Nur Qarinah Hazirah,17, dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan nahas telah dibuat oleh mangsa pada pukul 12.32 tengah hari tadi dan pihak polis sedang memburu pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Katanya, mengikut laporan dibuat remaja berkenaan, nahas berlaku selepas dia mengambil adiknya pulang dari sekolah di SK Demang Hussin dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solaris.
“Mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Duyong, selepas melepasi sekolah terbabit motosikal ditunggang mereka telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti.
“Akibat pelanggaran itu, dua beradik itu telah terjatuh menyebabkan mangsa kanak-kanak mengalami kecederaan di muka, mata dan dahi berlubang, manakala pengadu luka kecil di kaki serta tangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Kini kedua-dua mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan