"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru wanita, lelaki larikan barangan kemas lebih RM100,000

Norzamira Che Noh
Polis memburu dua individu yang melarikan barang kemas lebih RM100,000 dari sebuah kedai emas, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Polis.
Polis memburu dua individu yang melarikan barang kemas lebih RM100,000 dari sebuah kedai emas, Sabtu lalu. FOTO Ihsan Polis.
SHAH ALAM: Polis giat mengesan dua individu termasuk seorang wanita yang melarikan dua bentuk cincin dan tiga rantai emas dari sebuah kedai emas di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ia susulan laporan dibuat pekerja kedai emas berkenaan jam 4.55 pagi, semalam.

Beliau berkata, menurut laporan, pengadu didatangi pasangan warga tempatan yang berpura-pura ingin membeli barang kemas kira-kira jam 4 petang.

Katanya, ketika sibuk mengambil pelbagai barangan emas untuk ditunjukkan, suspek wanita mengambil beberapa barang kemas tanpa disedari.

"Kehilangan barang kemas berkenaan hanya disedari selepas pasangan berkenaan beredar dan hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek wanita mengambil barang kemas semasa pengadu sedang leka.

"Antara barangan yang dicuri ialah dua bentuk cincin dan tiga rantai tangan emas dengan anggaran berat keseluruhan 244.08 gram, membabitkan kerugian sekitar RM111,743.55," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek lelaki dilaporkan memakai topi merah dan cermin mata hitam, manakala suspek wanita memakai topi putih dan pelitup muka.

Katanya, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Prabagaran Nair di talian 011-26394419.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: