Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Seorang bapa saudara berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan di bawah umur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan bawah umur, pertengahan Mac lalu.
Walau bagaimanapun tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di dalam sebuah kereta di daerah Kuala Krai, jam 7.30 malam pada 13 Mac lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Bukit Sireh, dekat Kuala Krai jam 7.30 malam pada 15 Mac lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan