Reuters

MOHAMED Salah meraikan keempat untuk Liverpool. FOTO REUTERS
Liverpool: Liverpool bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membelasah Tottenham Hotspur 5-1 sekali gus merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh bergaya pada hari bersejarah di Anfield, sebentar tadi.
Hanya memerlukan satu mata untuk memastikan gelaran ke-20 - menyamai rekod kejuaraan terbanyak England - dengan baki empat perlawanan, Liverpool dikejutkan seawal minit ke-12 apabila Dominic Solanke menanduk masuk gol pendahuluan untuk Tottenham.
Namun, pesta kejuaraan Liverpool hanya terhenti seketika apabila mereka membalas menerusi jaringanLuis Diaz, rembatan padu Alexis Mac Allister, dan satu lagi gol menerusi Cody Gakpo sebelum tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua dikuasai sepenuhnya Liverpool, apabila Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan dalam enam perlawanan dengan melepaskan rembatan rendah melepasi Guglielmo Vicario pada minit ke-63 - meraikan gol liga ke-28 musim ini dengan berswafoto bersama seorang penyokong.
Destiny Udogie kemudian menjaringkan gol sendiri, melengkapkan petang yang malang buat Spurs yang kini sudah tewas 19 kali dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Liverpool kini mengumpul 82 mata daripada 34 perlawanan, dengan Arsenal jauh ketinggalan di tempat kedua dengan 67 mata.
Dengan kejayaan ini, Liverpool menyamai rekod 20 kejuaraan liga yang dipegang Manchester United.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan