Agensi

LOKASI lubang benam berkenaan. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
Tokyo: Satu jasad dipercayai milik pemandu lori berusia 70-an yang hilang selepas kenderaan dipandunya 'ditelan' lubang benam gergasi di Yashio, utara Tokyo, Januari lalu, akhirnya ditemukan semalam.
Lapor Kyodo News, pihak berkuasa wilayah Saitama mengesahkan bentuk menyerupai tubuh manusia ditemukan di dalam kabin lori yang tersangkut dalam paip pembetungan sejauh 30 meter (m) dari lokasi asal kejadian.
Pasukan bomba dan polis dijangka memasuki paip berkenaan seawal 2 Mei bagi menjalankan operasi sepenuhnya selepas ujian menunjukkan tahap gas hidrogen sulfida dan aliran air dalam keadaan selamat.
Insiden tragik itu berlaku pada 28 Januari apabila lubang benam selebar 40 m dan sedalam 15 m terbentuk secara tiba-tiba di persimpangan jalan.
Operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada 9 Februari akibat risiko runtuhan susulan.
Bagaimanapun, kerja-kerja membina laluan pintasan aliran kumbahan berjaya disiapkan pada 24 April lalu, membolehkan usaha menyelamat diteruskan.
Sebuah laluan cerun turut dibina bagi memudahkan pasukan penyelamat mengakses kabin lori itu, selain sebuah terowong menegak untuk kerja-kerja mengangkat menggunakan jentera berat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan