"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabul anak asuhan ibu, mekanik direman

Sinar Harian
Suspek berusia 28 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mencabul seorang kanak-kanak. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Mekanik direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, selepas dipercayai mencabul anak asuhan ibunya sejak kanak-kanak perempuan itu berusia tujuh tahun.

Perintah reman ke atas suspek yang masih bujang berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Sumber berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada guru yang meminta dia segera datang ke sekolah.
Menurutnya, ketika pertemuan itu, guru terbabit memberitahu mangsa telah dicabul oleh suspek sejak kanak-kanak itu berusia tujuh tahun di rumah pengasuhnya itu di Kampung Batang Tiga.

Katanya, mangsa yang kini berusia 10 tahun mendakwa telah dicabul oleh lelaki terbabit semasa dia berada di bilik ketika ibu suspek sedang sibuk di dapur.

"Difahamkan mangsa dihantar kali terakhir ke rumah pengasuh berkenaan pada Disember tahun lalu.

"Ibu mangsa terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu kerana selama ini mangsa tidak pernah menceritakan hal itu kepada sesiapa," katanya.

Tambahnya, ibu menyedari perubahan anaknya yang kini lebih banyak menyendiri sejak mangsa berusia sembilan tahun namun tidak mengesyaki apa-apa.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Batang Tiga pada Sabtu lalu sebelum membawa anaknya itu ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut oleh pakar psikiatri. -- Sinar Harian

Tiada ulasan: