N Faizal Ghazali
Aktivis Hishamuddin Rais dirakam keterangan oleh pihak polis selama satu jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini, atas beberapa dakwaan termasuk kerana mengaibkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Peguamnya yang juga penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran berkata, asas utama rakaman keterangan terhadap anak guamnya itu adalah kerana dakwaan mengaibkan Anwar.
Surendran menyifatkan siasatan tersebut tidak berasas dan salah di sisi undang-undang sekali gus patut dihentikan segera.
“Ini negara demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk bercakap dan tidak menjadi kesalahan jenayah kalau sesiapa mengkritik secara kasar atau lembut, rakyat mempunyai hak untuk mengkritik termasuk perdana menteri.
“Jadi kita berpendapat penyiasatan ini tak berasas dan salah di sisi undang-undang dan patut dihentikan segera.
“Kalau perdana menteri rasa dirinya diaibkan, beliau mempunyai hak untuk membawa kes tuntutan sivil di mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.
Surendran berkata, siasatan terhadap Hishamuddin dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, sumber PDRM yang dibiayai pembayar cukai tidak seharusnya digunakan untuk membela reputasi perdana menteri.
“(Kerajaan) tidak boleh menggunakan PDRM yang dibiayai cukai rakyat, tak boleh gunakan sumber tenaga PDRM atau Jabatan Peguam Negara untuk membela reputasi perdana menteri, itu salah. Itu kita tak boleh terima.
“Jadi itu yang berlaku dalam sesi memberi kenyataan hari ini. Hishamuddin dipanggil dan disiasat semata-mata kerana mengkritik perdana menteri, ini tidak boleh berlaku di negara demokrasi,” katanya.
Sementara itu Hishamuddin berkata, dia diajukan sebanyak 20 soalan dan kebanyakannya akan dijawabnya di mahkamah.
Katanya, ia susulan 30 laporan polis dibuat terhadap satu rakaman video ucapannya ketika menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung pada 28 Jun lalu.
Terdahulu himpunan aman itu dilaporkan bertukar kecoh apabila seorang peserta menyalakan suar berwarna merah.
Perhimpunan yang disertai kira-kira 100 orang itu bermula jam 2.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, sebelum peserta berarak ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Insiden berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika program hampir tamat, apabila seorang peserta menyalakan suar sebaik sahaja seorang aktivis mahasiswa, Ahsanul Akmal Muhamad Sulam selesai berucap.
Aksi itu menyebabkan seorang anggota polis cuba campur tangan dengan merampas suar berkenaan, namun berlaku kekecohan apabila Ahsanul mendakwa dia dikasari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan