"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua jawatan PAS terbuka ditandingi kecuali Presiden - Tuan Ibrahim

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Semua jawatan kepimpinan PAS Pusat terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti itu yang dijangka September ini kecuali jawatan Presiden.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut berpandangan jawatan Presiden PAS perlu dikekalkan kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, semua jawatan lain terbuka kepada ahli-ahli dalam kawasan untuk mencalonkan sesiapa saja yang layak dipilih.

"Cuma pada pandangan peribadi saya jawatan Presiden perlu dikekalkan. Begitu juga pandangan PAS kawasan yang bersetuju Presiden perlu dikekalkan kepada Tan Sri Abdul Hadi.

"Jawatan lain kira terbuka. PAS kawasan sekarang tengah mengadakan mesyuarat agung.

"Mereka akan mencalonkan sesiapa saja dan terserah kepada jawatankuasa pemilih nak tengok adakah cukup kelayakan untuk jawatan yang dicalonkan kerana ada syarat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kelayakannya adalah berapa pencalonan yang membolehkan calon bertanding.

"Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden, Timbalan dan sebagainya, ia perlu mendapatkan beberapa pencalonan untuk membolehkannya bertanding.

"Jawatankuasa pemilih akan maklumkan kepada calon berkenaan sama ada dia dicalonkan. Dia (calon) terima atau tarik diri akan dimaklumkan selepas pencalonan," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim berkata, beliau akan melihat dulu keadaan pencalonan.

"Saya tengok pencalonan berapa kerana semua jawatan terbuka (bertanding) dan tidak ada isu.

"Insya-Allah (bertanding) jika diamanahkan oleh kawasan yang dicadangkan. Kalau ada pertandingan pun, tidak ada masalah kerana nama-nama yang dicalonkan itu, ahli bebas untuk membuat pemilihan," katanya.

Tiada ulasan: