"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Letupan gudang mercun, 7 individu dilaporkan hilang

Reuters
Tangkap layar video media sosial menunjukkan kepulan asap menjulang susulan letupan di sebuah gudang simpanan mercun di Esparto, California, Amerika Syarikat pada 1 Julai dalam tangkapan skrin yang diambil daripada sebuah video media sosial. - Reuters (Foto dibekalkan pihak ketiga)
Tangkap layar video media sosial menunjukkan kepulan asap menjulang susulan letupan di sebuah gudang simpanan mercun di Esparto, California, Amerika Syarikat pada 1 Julai dalam tangkapan skrin yang diambil daripada sebuah video media sosial. - Reuters (Foto dibekalkan pihak ketiga)
LOS ANGELES: Tujuh individu dilaporkan hilang selepas satu kebakaran dan letupan kuat memusnahkan kemudahan mercun komersial di kawasan pedalaman utara California, menurut pihak berkuasa semalam.

Ketua Bomba Daerah Perlindungan Bomba Esparto, Curtis Lawrence, berkata dua mangsa mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan perubatan, manakala tujuh lagi masih hilang.

"Punca insiden yang berlaku tiga hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai yang lazimnya membabitkan pertunjukan bunga api, masih dalam siasatan oleh pejabat ketua bomba negeri.

"Pasukan penyelamat turut menggunakan dron dan pesawat untuk meninjau kawasan kejadian bagi mengesan mangsa yang hilang serta memantau bahaya," katanya.

Pasukan bomba dan anggota penyelamat lain masih berada pada jarak selamat dari lokasi kejadian kerana bahan mercun yang masih aktif terus meletup secara rawak sehingga malam tadi.

Pihak berkuasa juga tidak mendedahkan sama ada mangsa yang hilang terdiri daripada pekerja kemudahan itu atau orang awam, namun tiada kecederaan dilaporkan dalam kalangan anggota bomba dan penyelamat.

Rakaman udara oleh media tempatan menunjukkan sebuah bangunan besar seakan gudang hancur berkecai akibat letupan hebat pada petang Selasa, mencetuskan bola api besar yang menggegarkan kawasan sekitar komuniti Esparto di Daerah Yolo, kira-kira 64 kilometer di barat Sacramento, ibu negeri California.

Letupan yang mengeluarkan asap hitam tebal itu turut disusuli puluhan letupan kecil yang dipercayai berpunca daripada stok bahan piroteknik yang disimpan di lokasi berkenaan.

Menurut Jurucakap Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California, Jason Clay, kebakaran yang tercetus susulan letupan itu turut memusnahkan kira-kira 32 hektar kawasan tumbuhan sekitar.

Sementara itu, zon pemindahan diwujudkan di sekitar kawasan kejadian dan kira-kira 150 kediaman serta ladang dilaporkan terputus bekalan elektrik susulan insiden berkenaan.

Kemudahan yang musnah itu dikenal pasti sebagai sebuah perniagaan piroteknik berlesen yang menjual mercun komersial untuk pertunjukan awam.

Namun, masih belum dapat dipastikan sama ada mercun hanya disimpan atau turut dihasilkan di situ.
-bharian

Tiada ulasan: