Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan suspek mencuri penapis air di salah sebuah masjid.
Nilai: Curi penapis air di masjid dan cari pembeli melalui media sosial. Itu dilakukan lima individu untuk mendapat wang mudah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, empat daripada suspek didapati positif dadah dan semuanya mempunyai rekod jenayah.
Katanya, pihaknya menerima tiga laporan polis bersabit kes kecurian mesin penapis air di tiga masjid di sekitar Nilai pada 30 Jun lalu.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan berjaya menahan lima lelaki tempatan.
"Mereka berumur antara 20-an hingga 40-an ditahan dalam dua siri tangkapan yang dijalankan di kawasan Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira 12 tengah hari 3 Julai membabitkan dua suspek utama, diikuti dengan tangkapan kedua ke atas tiga lagi suspek pada hari sama pada 12.15 tengah hari.
Tambahnya, hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan barang kes utama, iaitu satu unit mesin penapis air yang dicuri pada 30 Jun 2025.
"Turut dirampas ialah sebuah Proton Gen-2, telefon bimbit, pakaian dipakai suspek ketika kejadian dan peralatan digunakan untuk mencabut mesin berkenaan.
"Hasil siasatan awal mendapati semua suspek menggunakan media sosial untuk mencari pembeli barang curi dan menyasarkan masjid yang kurang pengunjung, dan mencuri penapis air yang diletakkan di luar ruang solat.
"Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan