"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita bergelar Datuk bersama 4 lagi didakwa melakukan pengubahan wang haram jutaan ringgit

Norzamira Che Noh
Suhaila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas 53 pertuduhan pengubahan wang haram antara 2021 hingga 2024. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Suhaila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas 53 pertuduhan pengubahan wang haram antara 2021 hingga 2024. - Foto NSTP/Faiz Anuar
SHAH ALAM: Lima individu termasuk seorang wanita bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah serta pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit antara 2021 hingga 2024.

Kesemua tertuduh iaitu Datuk Suhaila Semaru, 41, dan adiknya Suraya, 37; Mohamad Noor Syauqi Mohammad Shafiee, 30; Muhammad Wahbah Az-Zuhaili Mohd Ariffin, 33, serta adiknya, Muhammad Syaabil Ajwad, 26, didakwa terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi syarikat XFOX Market Sdn Bhd.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Suhaila sebagai pengarah syarikat didakwa dengan keseluruhan 22 pertuduhan iaitu lima pertuduhan menerima; 12 tuduhan memperoleh dan lima pertuduhan memiliki wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM13 juta.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank syarikat pelaburan dan akaun bank miliknya.

Suraya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pula berdepan 10 pertuduhan memperoleh, memiliki dan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11.1 juta.

Mohamad Noor Syauqi didakwa memperoleh dan memiliki wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM2.5 juta manakala Muhammad Wahbah Az-Zuhaili berdepan tujuh pertuduhan menerima, memperoleh serta menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM10.3 juta.

Muhammad Syaabil Ajwad pula didakwa dengan tujuh pertuduhan menerima dan satu pertuduhan melupus wang keseluruhan bernilai RM58 juta.

Perbuatan itu dilakukan di pelbagai cawangan bank di sekitar Shah Alam, Ara Damansara, Kota Damansara, Klang serta rumah dan pejabat di Seksyen U5 Shah Alam antara November 2021 hingga Julai 2024.

Justeru mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Dalam prosiding yang sama, Suhaila, Suraya dan Mohamad Noor Syauqi turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan iaitu menyetuju terima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen yang sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 137(1) Akta 758 dibaca bersama subseksyen 249(1)(a) dan boleh dihukum di bawah seksyen 137(2) Akta yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat XFOX di Subang Bestari antara November 2021 hingga 30 Julai 2024.

Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara Malaysia (BNM), Nurdeenie Abd Rashid dan Timbalan Pendakwa Rata Jabatan Peguam Negara, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi menawarkan jamin berjumlah RM1 juta ke atas lima tertuduh dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Mohd Haziq Dhiyaudin Razali bagaimanapun memohon pengurangan dengan alasan semua anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis dan BNM sepanjang siasatan selain tiada risiko melarikan diri.

Hakim kemudian membenarkan jaminan berjumlah RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos depan.

Tiada ulasan: