"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketagihan 'chemsex' sumbang peningkatan HIV

Muhamad Lokman Khairi
lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fenomena chemsex atau penggunaan dadah untuk tujuan seksual, kini menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV akibat aktiviti seks berisiko tinggi dan di luar kawalan.

Presiden Rangkaian Tindakan Pengurangan Kemudaratan (HaRAN), Dr Anita Suleiman berkata, individu yang terbabit dalam aktiviti ini sering hilang pertimbangan akibat pengaruh dadah, menyebabkan mereka gagal melindungi diri daripada jangkitan penyakit kelamin, termasuk HIV.

"Apabila seseorang itu di bawah pengaruh dadah, fungsi kognitifnya terjejas. Walaupun anda longgokkan kondom di depan mata dia, untuk memastikan dia mengambil dan memakainya, mungkin mustahil.

"Dadah ini menyebabkan kita hilang pertimbangan dan meletakkan diri dalam risiko jangkitan HIV.

"Kita hanya sedar selepas kita keluar daripada ketagihan, tetapi pada masa itu, semuanya (jangkitan) sudah berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Persidangan Meja Bulat Mengenai Pendekatan Pengurangan Kemudaratan di sebuah hotel di sini, hari ini.

Dr Anita berkata, disebabkan kegagalan penggunaan kondom dalam kalangan pengamal chemsex, program pengurangan kemudaratan terakhir yang boleh ditawarkan adalah pengambilan profilaksis pra-pendedahan (PrEP).

"PrEP adalah langkah perlindungan terakhir untuk mengelakkan jangkitan HIV jika tidak mampu mengelak daripada dadah atau seks berisiko," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masalah chemsex ini amat sukar dirawat kerana tidak seperti penagih heroin yang boleh dirawat dengan metadon, tiada ubat khusus untuk merawat ketagihan dadah jenis substance yang sering digunakan dalam aktiviti ini.

"Yang terbaik adalah jangan ambil dadah langsung. Tapi kalau sudah ambil, kita kena bimbing mereka secara berterusan," katanya.

Beliau turut meluahkan rasa sedihnya apabila ada penagih yang merayu meminta pertolongan untuk keluar daripada ketagihan, namun sumber bantuan seperti pusat kaunseling masih terhad.

"Ramai yang mahu keluar dari ketagihan, tetapi mereka tidak tahu bagaimana," katanya sambil menggesa peranan agamawan diperkasakan untuk membantu dari sudut spiritual.

Tiada ulasan: