Malaysiakini
Seorang pemimpin akar umbi Umno Kelantan mengecam dakwaan pesta gay di Kota Bharu, Kelantan pada bulan lalu.
Ketua Umno Bahagian Pasir Mas Noor Hariri Mohamed Noor mengaitkan perkara itu dengan dadah, walaupun laporan media tidak menyebut berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang itu.
“Umum tahu semua kebejatan yang berlaku di dalam negeri ini berpunca daripada najis dadah yang mengkhayalkan hampir ramai anak bangsa.
“Perbuatan khayal dadah ini boleh menyebabkan kes parti gay seks sangat memalukan negeri Kelantan yang diberi julukan Serambi Mekah,” kata Noor Hariri yang juga bekas ketua pemuda Umno Kelantan.
Bernama hari ini melaporkan polis mengesahkan serbuan terhadap program gay melibatkan lebih 20 lelaki di sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu pada pertengahan Jun lepas.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata maklumat awal menunjukkan perjumpaan itu dihadiri lebih 100 lelaki tempatan, namun ketika serbuan dilakukan kira-kira satu pagi, sebahagian besar sudah beredar.
Polis menemui ratusan keping kondom dan beberapa kotak ubat HIV, selain rakaman video lucah berunsur gay dalam telefon bimbit pesertanya yang berumur antara 20 ke 30 tahun.
“Pertemuan gay berkenaan adalah pertama kali berlaku di Kelantan dan polis berjaya mengesan serta menyerbu pertemuan seumpama ini,” katanya.
Baca: Polis serbu program gay di Kota Bharu, jumpa kondom dan ubat HIV
Dalam kenyataan sebentar tadi, Noor Hariri berkata semua pihak, termasuk kerajaan negeri untuk bersatu hati menyokong polis Kelantan dalam jihadnya memerangi dadah.
“Wakil rakyat tidak boleh duduk sahaja, goyang kaki dan perut tidak memperdulikan perkara ini,” katanya.
Noor Hariri juga mengambil kesempatan menempelak kepimpinan negeri susulan insiden itu.
“Letak apa sahaja slogan berbunyi Islamik pun kalau kerajaan negeri masih ada mentaliti jumud ‘orang semua salah, aku sahaja betul’ maknanya negeri Kelantan akan kekal di takuk lama dengan berlaku ketidakseimbangan pembangunan fizikal dan spiritual rakyatnya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan