"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sembilan MP PKR garis 5 agenda untuk Ketua Hakim Negara baru

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bersama lapan lagi ahli Parlimen PKR mengemukakan senarai panjang isu-isu tertunggak untuk dipertimbangkan oleh Ketua Hakim Negara yang baru, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka menyuarakan harapan agar institusi kehakiman di bawah kepimpinan Wan Ahmad Farid akan terus memperkukuh kebebasan badan tersebut.

Lima perkara yang menurut mereka perlu diselesaikan adalah:

Memuktamadkan lantikan hakim-hakim untuk mengisi 31 kekosongan secepat mungkin, untuk mengelakkan tergendalanya perjalanan pentadbiran kehakiman.

Memastikan lantikan hakim-hakim adalah benar-benar berasaskan merit dan senarai kekananan, agar ia berlaku adil kepada hakim-hakim yang telah lama berkhidmat dan bertanggungjawab menjaga mutu dan nama baik badan kehakiman.

Memastikan lantikan hakim-hakim mengikut proses yang sewajarnya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta JAC, supaya pelantikan dibuat berasaskan merit dan senarai kekananan dengan sewajarnya.

Memastikan tidak ada campur tangan untuk mencatur, mengawal atau mempengaruhi lantikan hakim-hakim yang bertentangan dengan prinsip kebebasan badan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan, Akta JAC mahu pun semangat tatacara yang perlu dipatuhi, supaya proses lantikan adalah mengikut merit dan berlaku adil kepada hakim-hakim.

Menyelesaikan isu-isu yang telah dibangkitkan di dalam mesyuarat JAC sebelum ini, termasuklah tindakan susulan untuk menyiasat tuduhan cuba mempengaruhi keputusan kehakiman yang dibuat terhadap seorang hakim Mahkamah Persekutuan.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak menyebut tentang gesaan mereka sebelum ini agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

Gesaan mereka agar Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi menyiasat isu berkenaan juga tidak dinyatakan dalam kenyataan hari ini.

‘Hadkan kuasa PM’

Pada masa sama, mereka menggea Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar tidak melihat isu tersebut telah selesai sepenuhnya, selagi penambahbaikan dalam proses lantikan badan kehakiman tidak dimaklumkan kepada rakyat dan dilaksanakan.

Justeru, mereka mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan kerajaan, termasuk agar kuasa Perdana Menteri untuk menolak senarai pencalonan dari JAC dihadkan, dan agar Parlimen dilibatkan dalam pengesahan pencalonan dari JAC sebelum dibawa kepada Perdana Menteri.

Kata mereka, Perdana Menteri seharusnya memberi sebab rasmi, sama ada kepada Parlimen atau JAC, berhubung penolakan calon yang telah disaring JAC.

Mereka juga mencadangkan agar calon dari badan guaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara automatik dilantik sebagai anggota JAC.

“Ia seterusnya mengurangkan kuasa Perdana Menteri untuk melantik majoriti anggota JAC, seperti sekarang,” kata mereka lagi.

Maklum yang pengumuman pelantikan Wan Ahmad Faris semalam “sedikit meredakan kebimbangan awam”, mereka menyifatkan reaksi awal berhubung pelantikan itu sebagai “bercampur-campur”.

“Ini memandangkan latar belakangnyayang pernah menjadi pemimpin Umno suatu ketika dahulu dan dilihat lebih junior berbanding sebahagian hakim-hakim yang lain.

“Kami berharap sebagai Ketua Hakim Negara yang baru, Wan Ahmad Farid menerima pelbagai pandangan ini dengan terbuka,” kata mereka lagi.

Tiada ulasan: