Buletin TV3

Tangkap layar daripada rakaman video tular yang memaparkan seorang lelaki dipukul dan dipaksa masuk ke dalam sebuah pikap – Foto Tular
NIBONG TEBAL: Seorang lelaki mangsa pukul sekumpulan individu dan dipaksa masuk ke dalam sebuah pikap sebagaimana paparan video yang tular, ditahan polis bagi membantu siasatan satu kes curi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata terdahulu polis mengesan satu rakaman video berdurasi dua minit dan lima saat tular dalam TikTok yang memaparkan kejadian itu.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berlaku di daerah ini pada jam 7.16 malam Rabu lalu, yang dipercayai berpunca daripada dakwaan curi barang kemas membabitkan lelaki itu.
“Dalam rakaman video itu, tiga suspek lelaki dilihat memukul mangsa di bahagian kepala dan badan tanpa menggunakan senjata, sebelum memaksanya masuk ke dalam sebuah pikap.
“Mangsa telah menerima rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada bahagian muka serta kepala.
“Bagaimanapun, polis menahan mangsa atas satu kes curi dan dia kini direman empat hari hingga 20 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, malam ini.
Pada masa sama, beliau berkata, polis juga sedang mengesan semua suspek yang memukul mangsa, untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan