Kenapa hina guru saya, doktor kesal kredibiliti pakar patologi dipertikai
SITI NUR ZAWANI
Seorang doktor kecemasan, Dr Muhamad Naim Ab Razak meluahkan rasa kesal apabila pakar forensik yang juga saksi pertama Inkues Zara Qairina menjadi sasaran kecaman di media sosial.
Menurut beliau, hatinya benar-benar terluka apabila seorang kenalan yang dianggapnya sebagai seorang guru dihina dengan gelaran biadab.
“Saya tidak akan sesekali menerima jika guru saya dihina dengan panggilan seperti ‘pantatlogi’.
“Guru saya, seorang pakar forensik hebat yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang perubatan forensik termasuk 27 tahun sebagai pakar.
“Dialah orang yang membangunkan Jabatan Forensik di Sabah. Dahulu, beliau berseorangan menjelajah seluruh Sabah untuk melakukan bedah siasat mayat dalam kes jenayah atau berprofil tinggi,” katanya menerusi hantaran panjang yang dimuat naik di Facebook.
Kata Dr Muhamad Naim, majoriti pakar forensik dan pegawai perubatan forensik di Sabah merupakan anak didik pakar terbabit termasuk dirinya sendiri.
“Beliau mengajar saya kepentingan autopsi dalam mencari keadilan buat si mati, mendidik saya kekal rendah hati, dan melatih cara memberi keterangan di mahkamah,” ujarnya.
Beliau turut menggambarkan gurunya itu sebagai seorang yang berakhlak mulia, tidak meninggikan suara, tidak cerewet dan sangat menghormati urusan jenazah Islam meskipun bukan beragama Islam.
“Kadang-kadang saya terserempak beliau membeli bunga lewat malam di Pick N Pay untuk disedekahkan. Beliau juga sering membelanja kami. Beliau sangat sensitif dengan urusan jenazah Islam dan akan berusaha sedaya upaya memudahkan urusan terakhir.
“Malah, di jabatan yang diterajuinya, bedah siasat kadangkala dilakukan pada waktu malam agar jenazah Muslim dapat segera dikebumikan.
“Saya sendiri tidak mampu melakukannya seperti beliau. Beliau juga peka dengann keperluan staf Muslim, daripada waktu solat hinggalah soal makanan halal,’ kata Dr Muhamad Naim lagi.
Katanya, beliau juga terinspirasi dengan kerendahan hati pakar tersebut sehingga pernah menulis novel fiksyen forensik kerana terlalu mengagumi disiplin berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan mencari kebenaran tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menghina individu tidak bersalah, apatah lagi tokoh yang telah banyak menyumbang kepada bidang forensik negara.
“Maaflah. Saya lebih rela kehilangan seorang kawan daripada melihat guru yang saya cintai dihina dan dimaki sebegini,” tulisnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan