"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri penemuan mayat lima sekeluarga di rumah

Agensi

Indramayu, Indonesia: Lima sekeluarga terdiri daripada suami isteri, bapa mentua dan dua anak mereka ditemukan mati dan dikebumikan di bahagian belakang rumah mereka di Kelurahan Paoman, Daerah Indramayu, Jawa Barat, Isnin lalu.

Memetik laporan Kompas.Com, mangsa dikenali sebagai H Sahroni, 75; Budi, 45; Euis, 40; dua lagi hanya dikenali dengan pangkal nama iaitu R, 6, dan B, 3.

Tinjauan di lokasi pada Selasa mendapati rumah itu kini dipasang garisan polis dan keadaan rumah dua tingkat itu juga kelihatan tidak terurus dan berdebu dengan bahagian bawah rumah itu dicat dengan warna merah jambu, manakala tingkat atasnya berwarna krim.

Di hadapan rumah itu dipenuhi semak-samun tebal yang tidak terurus sehingga membuatkan rumah bernombor 52 itu kelihatan seperti rumah kosong. Di sebelah rumah itu juga terdapat sebuah bangunan yang dipercayai gudang.

Lokasi itu dipercayai menjadi saksi bisu tempat kelima-lima mayat itu ditanam. Kesemua mayat ditanam di dalam lubang yang sama sehingga membentuk busut tanah.

Sejak malam Isnin hingga Selasa, lokasi rumah mangsa terus didatangi oleh penduduk yang ingin tahu mengenai kejadian itu.

"Berita ini tular, jadi saya cuma ingin tahu di mana lokasinya, sekadar ingin tahu," ujar Tardiarto, 25, seorang penduduk Desa Pilangsari.

Seorang jiran, Sukarta, 50, memberitahu bahawa kesemua mangsa yang tinggal di rumah berkenaan adalah H Sahroni, anaknya, Budi, isteri kepada Budi iaitu Euis, serta kedua-dua anak pasangan itu, R dan B. Isteri Sahroni dilaporkan sudah lama meninggal dunia.

Menurutnya, selain Budi, Sahroni mempunyai seorang lagi anak tetapi sudah meninggal dunia akibat kemalangan dilanggar motosikal di hadapan rumah berkenaan.

Sukarta berkata, dia mula curiga apabila tercium bau busuk pada Ahad.

Namun, ketika itu, dia cuba berfikiran positif bahawa bau itu adalah bangkai tikus.

Tetapi Isnin lalu, bau busuk itu semakin kuat dan tercium hingga ke bengkel motosikalnya yang terletak di seberang rumah mangsa.

Bau kuat dari dalam rumah menyebabkan ahli keluarga mangsa kemudian memutuskan untuk memecahkan pintu rumah itu sebelum membawa kepada penemuan mayat lima individu berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Seksyen Hubungan Masyarakat, Polres Indramayu, AKP Tarno mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis sudah menemu bual lima individu, tetapi belum dapat memastikan punca kematian mangsa.
-Hmetro 

Tiada ulasan: