"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SUV terbabas, 2 maut, seorang parah

Buletin TV3 
Kadir Edison
FOTO: JBPM
BETONG: Dua wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Rumah Panjang Melayu Ulu, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.58 petang, sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan kendiri itu menyebabkan tiga mangsa, seorang lelaki dan dua wanita dewasa tersepit di dalam kenderaan.
FOTO: JBPM
“Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an tersepit di bahagian pemandu, manakala dua wanita berusia 20-an dan 40-an tersepit di bahagian penumpang hadapan serta belakang.

“Mangsa lelaki berjaya dikeluarkan dalam keadaan cedera parah, manakala kedua-dua wanita disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas tamat pada jam 7.35 malam.

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa lelaki yang cedera parah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: