Muhamad Lokman Khairi
lokman@hmetro.com.my

SEORANG gelandangan tidur di jejantas Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Kuala Lumpur: Beberapa jejantas pejalan kaki di sekitar ibu kota kini umpama 'rumah' buat golongan gelandangan.
Tinjauan Harian Metro di jejantas pejalan kaki di Jalan Hang Tuah, Jalan Genting Kelang dan Jalan Wangsa Maju, di sini, mendapati gelandangan meletakkan barang peribadi seperti kasut dan bakul pakaian di laluan pejalan kaki hingga mengganggu pergerakan orang awam.
Ada antara mereka tidak segan silu tidur dengan hanya berkain batik dan berbaju lusuh di tengah laluan.
Selain itu, persekitaran jejantas juga kotor dengan bau hancing dan deretan botol berisi cecair kekuningan dipercayai air kencing golongan terbabit.
Pekerja kedai runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Teha, 33, berkata, situasi ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar raya, malah membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan orang awam terutama wanita.
"Saya sekali-sekala naik jejantas ini (Jalan Hang Tuah) apabila hendak ke pasar malam di seberang jalan sana dan pernah terlihat dua gelandangan lelaki tidur di jejantas.
"Ada yang terbaring tidur dan ada juga berkelakuan pelik seperti bercakap seorang diri bagaikan kurang siuman.
"Walaupun tiada insiden buruk setakat ini, perasaan takut itu sentiasa ada, namun saya tak pernah nampak penguat kuasa datang uruskan mereka," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

BARANG peribadi seperti topi dan kotak dipercayai milik gelandangan di jejantas Jalan Genting Kelang, Kuala Lumpur. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Sebelum ini, tular video di TikTok memaparkan gelandangan tidur bergelimpangan di jejantas berhampiran sebuah hospital swasta di Setapak, di sini.
Situasi itu mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan orang ramai dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berwajib.
Petugas perubatan di hospital itu yang hanya ingin dikenali sebagai Suraya, 30, berkata, dia berasa takut setiap kali terpaksa menggunakan jejantas berkenaan pada awal pagi dan lewat malam.
"Kadang-kadang mereka (gelandangan) kelihatan seperti kurang siuman, tidur di tengah laluan.
"Saya hanya mampu berdoa agar tiada apa-apa yang buruk berlaku terutama bila pulang kerja lewat malam.
"Ada sebahagian rakan saya lebih sanggup melintas jalan raya yang sesak dengan kenderaan daripada risikokan diri berjalan di jejantas itu," katanya.
Pemandu teksi, Azman Nasir, 57, pula menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera berkenaan isu gelandangan di kemudahan awam termasuk jejantas bagi mengelakkan insiden buruk berlaku.
"Operasi bersepadu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu dijalankan secepat mungkin untuk membersihkan jejantas-jejantas ini.
"Selain aspek kebersihan, keselamatan warga kota terutama wanita perlu diberi keutamaan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan