"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dikejar 30 minit sebelum ditangkap cuba menyusup masuk negara

Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran bersama dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai cuba masuk ke negara ini melalui laluan tidak sah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 pagi semalam pada kedudukan 0.04 batu nautika barat daya Morib.

Menurutnya, operasi itu dijalankan melalui Op Khas Jalur Belakang hasil maklumat risikan serta bantuan daripada Area Control Centre (ACC) Klang.

“Kira-kira pukul 12 tengah malam, ACC mengesan sebuah bot mencurigakan. Bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan mengarahkan bot itu berhenti, namun tidak diendahkan.

“Bot terbabit terus memecut sehingga berlaku aksi kejar-mengejar hampir 30 minit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, bot berkenaan akhirnya terkandas di kawasan bakau Morib sebelum pemeriksaan dijalankan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui kru di atas bot, namun pencarian di kawasan sekitar berjaya menemui dua lelaki warga Indonesia berusia 22 dan 33 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Bot serta kedua-dua suspek dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: