"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jurucakap Hamas, Abu Obeida, terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza

Astro Awani

BANDARAYA GAZA: Israel mendakwa telah membunuh Abu Obeida, jurucakap utama sayap bersenjata Hamas, dalam satu serangan udara yang dilancarkan ke atas Gaza hujung minggu lalu.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, yang menyatakan bahawa Abu Obeida telah “dihapuskan” dalam operasi ketenteraan yang menyasarkan kawasan Rimal di Bandaraya Gaza.

Abu Obeida, nama samaran bagi Hudayfa Samir Abdallah al-Kahlut, telah lama menjadi wajah propaganda ketenteraan Hamas melalui kenyataan media, rakaman audio, dan video yang disebarkan kepada dunia Arab dan antarabangsa.

Beliau terkenal dengan penampilan beruniform tentera dan keffiyeh merah yang menutupi wajahnya.

Menurut laporan tentera Israel, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama agensi perisikan Shin Bet dan Komando Selatan, berdasarkan maklumat risikan yang mengenal pasti lokasi persembunyian Abu Obeida.

Serangan itu turut mengorbankan beberapa penghuni lain di apartmen yang sama, menurut sumber Palestin.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kematian Abu Obeida.

Namun, kumpulan itu memberi amaran terhadap penyebaran maklumat palsu yang didakwa sebagai sebahagian daripada “perang psikologi” oleh Israel.

Serangan ini berlaku ketika kabinet keselamatan Israel bersidang untuk membincangkan perluasan operasi ketenteraan di Gaza, khususnya di kawasan berpenduduk padat seperti Bandaraya Gaza.

Tiada perbincangan mengenai gencatan senjata dijadualkan dalam mesyuarat tersebut.

Israel menyatakan bahawa kematian Abu Obeida adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk melumpuhkan kepimpinan Hamas dan membebaskan tebusan yang masih ditahan sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Tiada ulasan: