Harapandaily
Tindakan seorang penyokong Pas mempertahankan Ustaz Muhammad Fathi Na’im Mazlam yang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan kerana merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dikecam warganet.
Terdahulu, Alif Mahari dari Terengganu menegaskan bahawa ustaz yang dipenjara termasuk kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja bawah umur itu jangan dihina.
“Hari ini dia pakai uniform banduan, esok boleh jadi dia sarung kot Perdana Menteri.
“Di Malaysia, masuk penjara bukan tanda noktah karier seorang tokoh, mungkin itulah tiket VIP untuk dia naik ke kerusi empuk Putrajaya,” sindirnya di media sosial.
Rata-rata netizen mengutuk Alif Mahari termasuk mempersoalkan pendiriannya jika kes jenayah seksual itu berlaku pada ahli keluarga sendiri.
“Cakap macam orang tiada pegangan agama. Kesalahan rogol bawah umur adalah jenayah yang amat hina. Di penjara sekalipun ia dianggap paling tercela. Jangan anggap perbuatan itu sebagai sesuatu yang hebat,” tegas pengguna Threads, Aisyah Rehman.
Dalam masa sama, perbandingan berbaur sinis yang diguna oleh ustaz Pas berkenaan juga dikritik memandangkan jenayah rogol adalah dosa besar dan serius.
“Dalam ilmu balaghah, ada beberapa istilah bila sesuatu ungkapan itu ‘melampau’.Bila dibandingkan dengan kes rogol kanak-kanak, ia sudah jatuh ke tahap غلوّ (ghuluw). Perbandingan melampau yang tidak wajar dari sudut adab dan sensitiviti,” jelas pengguna Facebook, Mohd Yunus.
Pada 18 September lalu, Ustaz Muhammad Fathi Na’im Mazlam yang berasal dari Terengganu telah dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana merogol serta melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, empat tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Fathi, 33, didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika itu di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor, pada jam 3 petang dan 7 malam, awal Julai dan 27 Julai 2021.
Suami kepada tiga isteri itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bapa kepada lapan anak itu turut didakwa atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama, di tempat serupa pada Jun 2021.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan