Fazli Ahmad
am@hmetro.com.my
Pekan: Polis merampas telefon bimbit milik seorang guru penolong kanan, sebuah sekolah kebangsaan bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki.
Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata rampasan dilakukan jam 10 malam, 13 September lalu, untuk menyiasat kemungkinan guru lelaki terbabit menyimpan video dan gambar lucah di dalam telefon bimbit suspek.
Menurutnya, rampasan itu dibuat susulan laporan ibu seorang murid sebuah sekolah di sini, berhubung perbuatan guru lelaki terbabit melakukan amang seksual terhadap anaknya.
"Kejadian terbongkar selepas murid berusia 11 tahun menceritakan perbuatan guru lelaki terbabit kepada ibu mangsa selepas pulang membuat persembahan kebudayaan di daerah ini, 13 September lalu.
"Berdasarkan laporan, gangguan seksual itu berlaku 12 September, ketika guru lelaki terbabit ditugaskan mengiringi 11 murid membuat persembahan kebudayaan dan mereka menginap di asrama sebuah pusat latihan, di sini," katanya menerusi kenyataan.
Mohd Zaidi berkata, guru terbabit direman seminggu untuk membantu siasatan selepas polis menerima laporan mengenai kejadian.
Menurutnya, suspek dibebaskan semalam dengan jaminan polis dan pegawai penyiasat akan menghantar kertas siasatan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan