"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

90 peratus kes rogol di Kelantan suka sama suka - polis

Hazira Ahmad Zaidi

KOTA BHARU: Polis Kelantan mencadangkan peruntukan undang-undang sedia ada diteliti semula khususnya membabitkan kesalahan hubungan seksual dengan kerelaan supaya tindakan tidak hanya dikenakan ke atas lelaki, sebaliknya turut dikenakan terhadap pasangan wanita.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata statistik menunjukkan hampir 90 peratus kes rogol bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka, bukannya paksaan.

Katanya, undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih memahami kesan sesuatu kesalahan, sekali gus membantu membendung peningkatan kes pada masa akan datang.

“Justeru, terdapat keperluan untuk meneliti semula mekanisme perundangan sedia ada bagi memastikan tindakan undang-undang dapat dikenakan kepada kedua-dua pihak yang terbabit bukan hanya tertumpu kepada lelaki semata-mata.

“Selama ini kita hanya mendakwa lelaki dalam kes rogol bawah umur, sedangkan hasil siasatan mendapati kebanyakan kes berlaku atas dasar suka sama suka. Maka saya mahu mencadangkan pihak berwajib turut mengambil tindakan terhadap perempuan yang terbabit.

“Apabila laporan dibuat, kita tetap perlu membuka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun terdapat pengakuan bahawa perbuatan itu dilakukan atas dasar suka sama suka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, dalam usaha mencegah perkara ini daripada terus berleluasa, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan masing-masing, termasuk ibu bapa, guru dan institusi agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

“Dalam hal ini, satu mekanisme pencegahan yang lebih menyeluruh akan diperhalusi dan dibincangkan bersama agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi memastikan isu ini dapat ditangani secara berkesan dari aspek pendidikan, pemantauan dan perundangan,” katanya.

Tiada ulasan: