"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amat memalukan: FAM, 7 pemain warisan digantung 12 bulan, didenda FIFA

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain susulan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang berkaitan dengan pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, FAM didapati telah menyerahkan dokumen yang dipalsukan ketika membuat semakan kelayakan pemain kepada FIFA. Tindakan itu bertujuan membolehkan tujuh pemain terbabit beraksi mewakili skuad kebangsaan.

Pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

“Semua pemain terbabit telah diturunkan ketika perlawanan menentang Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10 Jun 2025.

“Aduan mengenai status kelayakan Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano dikemukakan kepada FIFA selepas perlawanan itu.

“Jawatankuasa Tatatertib FIFA menilai semua bukti yang dikemukakan sebelum memutuskan bentuk hukuman.

“FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000.
Tujuh pemain berkenaan pula masing-masing didenda CHF2,000,” menurut kenyataan itu.

Kesemua pemain turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemakluman keputusan.

Isu kelayakan pemain-pemain terbabit untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia turut dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.

FAM dan pemain-pemain berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, hari ini.

Mengikut peruntukan FDC, mereka diberikan tempoh sepuluh hari untuk memohon keputusan bersebab yang jika dimohon, akan diterbitkan di laman legal.fifa.com.

Keputusan itu masih tertakluk kepada rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Tiada ulasan: