"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Marang, Terengganu: Ibu terpaksa ikat anak hidap barah otak naik motosikal ke hospital

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my
Rosnani (kiri) melihat Nur Shazza Irdina mengusap kepala adiknya,
Rosnani (kiri) melihat Nur Shazza Irdina mengusap kepala adiknya,
Marang: Suri rumah terpaksa mengikat pinggang anaknya yang menghidap barah otak ketika membawanya menaiki motosikal bagi mendapatkan rawatan susulan dua atau tiga kali sebulan.

Rosnani Mustapha, 46, dari Kampung Bukit Sawa, Marang, berkata, dia terpaksa mengikat pinggang anaknya, Nur Shazia Irdina Norasmawi, 8, bagi mengelak terjatuh dari motosikal ketika mendapatkan rawatan susulan selepas disahkan menghidap barah otak tahap empat sejak Januari lalu.

Katanya, Nur Shazia terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan susulan termasuk menukar tiup bagi mengeluarkan cecair dalam kepala setiap minggu.

"Bagi memastikan keselamatan Nur Shazia, saya terpaksa gunakan kain untuk ikat pinggang kami ketika menaiki motosikal ke hospital.

"Kaedah itu dilakukan bagi mengelak Nur Shazia terlelap dan terjatuh ketika dalam perjalanan ke hospital yang jaraknya 20 kilometer daripada kediaman," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Rosnani berkata, dia terpaksa menghantar Nur Shazia ke hospital setiap minggu dengan menunggang motosikal kerana tidak mampu membayar tambang kenderaan.

Nur Shazia yang juga anak kembar kepada Rosnani dan Norasmawi Awang, 50, pernah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan ketulan berupa lemak dalam otak pada Januari lalu.

Rosnani berkerja sebagai pembantu kedai makan manakala suaminya, Norasmawi berkerja sebagai buruh di kilang batu hanya memperolehi pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan.

Nur Shazia dan kakak kembarnya, Nur Shazza Irdina pelajar tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Gondang, Marang.

Rosnani berkata, Nur Shazia juga mudah diserang penyakit sawan terutama jika cuaca panas.

"Saya juga akan ke sekolah dua atau tiga kali sehari untuk menukar lampin pakai buang Nur Shazia," katanya yang tinggal di rumah sewa.

Ketika mengulas bayaran sewa rumah, Rosnani yang turut membuat kuih bagi menampung perbelanjaan seharian memaklumkan, sewa kediaman sebanyak RM450 sebulan tertunggak selama dua bulan.

"Kita membelanjakan RM400 sebulan terutama membeli lampin pakai buang," katanya.

Tiada ulasan: