Zuliaty Zulkiffli
am@hmmetro.com.my

S Suresh tidak menyangka kejadian menimpa jirannya itu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kulim: Suspek yang disyaki menikam isterinya sebanyak 13 kali sempat meminta jirannya menjaga anak mereka yang berusia tiga tahun, petang semalam.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 43 tahun itu dipercayai menikam mangsa berusia 39 tahun yang kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Jiran, S Kesavan, 63, berkata, lelaki itu datang ke rumahnya di Taman Tiram, di sini sekitar jam 6.30 petang dan meminta dia menjaga anak lelakinya sebelum datang semula mengambilnya kira-kira 15 minit kemudian.
"Dia (suspek) datang ke rumah saya dan minta tolong jaga anaknya sekejap.
"Dia kata nak mandi dan saya pun tak kisah atau syak apa-apa. Kira-kira 15 minit kemudian, dia datang ambil anaknya semula dan masa nak balik, dia cuma ucap terima kasih," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kesavan berkata, dia hanya mendapat tahu lelaki itu menikam isterinya kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, sebelum ini lelaki itu pernah datang ke rumahnya sambil menangis dan mengaku memukul isterinya namun ketika itu dia menasihati suspek supaya tidak mengulangi perbuatannya.
Seorang lagi jiran, S Suresh, 50, berkata kawasan perumahan itu gempar apabila beberapa ahli keluarga meminta bantuan untuk memecahkan pintu rumah sekitar jam 8.30 malam tadi.
Katanya, selepas pintu dibuka, mereka terkejut melihat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah di atas katil sebelum cuba membantu membawanya ke Hospital Kulim.
"Kami bawa dia ke Hospital Kulim dan sebaik sampai di hospital, mereka kata jantung sudah berhenti, tapi masih cuba menyelamatkannya," katanya.
Suresh berkata, dia pernah terdengar pasangan itu bertengkar beberapa kali sebelum ini, namun langsung tidak menyangka perselisihan mereka berakhir dengan kejadian tragis.
Suspek menyerah diri di Balai Polis Lunas kira-kira 8.40 malam dan polis turut merampas sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 20 sentimeter yang disyaki digunakan untuk kejadian itu.
Suspek direman tujuh hari sehingga 21 September ini dipercayai menikam isterinya sebanyak 13 kali, masing-masing tujuh di dada, lima di perut dan satu di rusuk kanan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan