Bernama
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Indonesia menjadi individu pertama di Malaysia yang dikenakan hukuman penjara akibat kesalahan membuang puntung rokok.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor Zainal Fitri Ahmad berkata, pekerja am kontraktor berusia 36 tahun itu membuat kesalahan pembuangan sisa kecil (PSK) di sekitar kawasan Stulang pada Februari lepas.
Bagaimanapun, individu itu dipenjara sebulan bermula 28 Ogos selepas gagal membayar denda berjumlah RM1,000 yang dijatuhkan oleh mahkamah.
“Selepas menjalani hukuman penjara, individu ini akan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan PKM Siri Ke-50 hari ini.
Dalam pada itu, katanya, sebanyak 107 kes melibatkan PKM telah diselesaikan di mahkamah membabitkan 59 warga tempatan dan 48 warga asing setakat ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan denda yang dikenakan mencecah RM71,550 dengan tempoh PKM antara dua hingga 10 jam.
Sehingga kini, katanya, sebanyak 3,358 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan di Johor dengan 3,095 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan.
“Sehingga kini, sebanyak 789 kertas siasatan juga telah dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan membuang sisa kecil di tempat awam merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM sehingga enam bulan. Ketidakpatuhan terhadap arahan PKM pula boleh dikenakan tindakan lanjut termasuk denda maksimum RM10,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan