"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Geng Baju Merah bertindak liar koyak bendera Bersih 5, tendang kereta

DALIA ISMAIL
Koordinator Bersih 5 Jay Jay Denis (duduk tiga dari kiri) selepas sidang media diadakan di Pusat Khidmat Amanah, Teluk Intan petang tadi.
Tidak cukup dengan maki hamun, kumpulan penyokong Merah V2 atau Geng Baju Merah, didakwa mula bertindak liar apabila sanggup menendang kereta, menumbuk cermin kereta serta terbalikan dan mengoyak bendera Bersih 5 dalam satu kejadian di Perak.

Saksi kepada kejadian berlaku adalah Koordinator Konvoi Bersih 5 Perak, Jay Jay Denis mendakwa, geng baju merah tiba di Marine Wings Waterfront pada jam 9.30 pagi dan mula membuat kecoh dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap pimpinan dan penyokong Bersih 5.

"Kami anggarkan 100 geng baju merah menaiki motorsikal dan kereta sengaja buat kacau dengan memaki hamun kami tahap maksima ketika kami masih berkumpul di Marine Waterfront di Lumut," ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sepanjang perjalanan dari Lumut ke Ayer Tawar, Jay Jay berkata, konvoi dari awal yang disertai lebih kurang 300 penyokong itu terpaksa berpecah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku membabitkan dua pihak apabila geng Baju Merah bertindak liar.

Dalam perjalanan dari Lumut ke Seri Manjung hingga ke Air Tawar, kumpulan bermotorsikal dipercayai mengekori tiga buah kereta yang mana penumpannya dinaiki oleh pemimpin politik dan penyokong Bersih 5.

"Dari Lumut kami akan menuju ke Seri Manjung dan Air Tawar, kereta saya, kereta dinaiki Nizar, Tian Chua dan Hishamuddin Rais telah ditendang dan cermin kereta ditumbuk oleh penyokong Baju Merah yang menaiki motosikal mengekori konvoi kami.

"Mereka bertindak liar dan seakan sudah mengecam kereta yang dinaiki kami. Mereka sengaja mahu mengertak," ujarnya menceritakan peristiwa berlaku.

Bagaimanapun Jay Jay amat kesal kerana polis gagal bertindak menghalang perbuatan geng Baju Merah.

" Sepanjang laluan ada ramai polis dan SB (Special Branch) mereka ada merakam video dan ambil gambar kejadian berlaku tetapi mereka tidak bertindak menghalang apa yang dilakukan geng Baju Merah.

"Sepatutnya polis bertindak ketika jenayah sedang dilakukan bukannya nak tunggu aduan baru mahu bertindak. Itu tak masuk akal," ujarnya.

Jay Jay juga memaklumkan beliau telah diberitahu, bahawa pihak polis akan memanggilnya untuk memberikan kenyataan terhadap kejadian yang dilakukan oleh geng Baju Merah hari ini.

"Saya tidak akan buat laporan polis, kerana saya percaya polis mempunyai bukti rakaman yang mereka lakukan. Tetapi saya dimaklumkan oleh OCPD Seri Manjung saya akan dipanggil untuk beri keterangan.

"Kenapa kami yang mahu berhimpun aman ini pula di siasat lebih awal berbanding geng Baju Merah yang memulakan kacau bilau di lokasi yang kami lalui hari ini?," soalnya yang sudah tiba di Teluk Intan ketika dihubungi.

Konvoi Bersih 5 yang bermula di Marine Waterfront Jeti Lumut dijangka akan berakhir di Teluk Intan dan beliau berkata akan mengadakan sidang media untuk menerangkan perkara yang berlaku ini.

Dalam satu kenyataan berasingan Merah V2 diketuai Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Jamal Md Yunos berkata dalam sidang medianya di Setiawan tengahari tadi memberitahu dianggarkan 2,000 penyokong geng Baju Merah berkumpul ini dakwanya, membuktikan rakyat menolak Bersih 5.

Jamal juga memberitahu seperti di petik portal Kitaikini, bahawa konvoi Bersih 5 di beberapa kawasan melibatkan beberapa buah negeri turut berjaya dihalang Merah V2.

Katanya,kejayaan Merah V2 akan dijadikan sebagai pembangkit semangat untuk terus menghalang kempen Bersih 5 sehingga perhimpunan besar pada 19 November ini selagi ianya tidak mendapat kelulusan dan permit daripada pihak polis.

Dalam hal ini Jay Jay berkata Konvoi Bersih 5 di Perak sudahpun mendapat kelulusan dan permit dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Manjung pada Khamis lalu.
Aksi Datuk Jamal Md Yunos (dua dari kiri) ketika mengadakan sidang media bercakap sambil terbalikkan bendera Bersih 5 di Setiawan hari ini.
-malaysiadateline

Penyokong BERSIH, Baju Merah bertempur di Teluk Intan

Kumpulan Baju Merah dan penyokong BERSIH bertempur buat kali pertama di Teluk Intan hari ini.

Kejadian itu berlaku selepas pemimpin Baju Merah Datuk Jamal Datuk Md Yunos cuba merampas kain rentang daripada kumpulan konvoi berkenaan.

Peserta BERSIH yang dalam perjalanan dari Lumut ke Teluk Intan disekat ketika tiba ke destinasi akhir mereka oleh kumpulan diketuai Jamal.

Usaha BERSIH meminta Jamal memberikan laluan kepada mereka gagal apabila pemimpin Baju Merah Itu tiba-tiba menyambar kain rentang mereka dan memukul salah seorang peserta hingga menyebabkan pergaduhan kecil.

Ini merupakan kejadian kedua antara kumpulan baju merah dan peserta konvoi BERSIH yang berkonvoi dari Lumut.

Terdahulu peserta BERSIH didatangi oleh 30 hingga 40 anggota kumpulan baju merah yang menunggang motosikal.

Geng Baju Merah menarik bendera dari kenderaan konvoi berkenaan, menendang kereta dan menumbuk cermin sisi kenderaan mereka
-malaysiakini

Ustaz PAS akan tanam mufti ini dekat jirat juga ke?

Mufti PP: RUU355 bukan hukum Allah

Mufti Pulau Pinang menyuarakan rasa sedihnya terhadap tindakan segelintir ahli agama yang mengkafirkan orang Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) bagi meminda akta Mahkamah Syariah.

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata beliau tidak menafikan peri pentingnya memperkasa mahkamah syariah, tetapi RUU itu belum lagi dimuktamad dan dibentangkan.

“Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan.

“Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang yang adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara,” katanya dalam kenyataan yang antaranya diedarkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Kerajaan sebelum ini memberi laluan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkannya RUU persendirian itu untuk dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun memohon ditangguhkan untuk sidang bulan depan atas alasan tidak cukup masa untuk dibentangkan.

Baru-baru ini, tersebar meluas video seorang ustaz di Internet yang memberi amaran untuk menanam Presiden PKR Datuk Wan Azizah Ismail di kubur Cina jika tidak menyokong RUU itu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada mufti Pulau Pinang itu merujuk langsung kepada kes tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Wan Salim juga berkata anggota parlimen tidak wajar dipaksa atau diugut menyokong RUU itu menggunakan alasan terjejas akidah jika menolaknya.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT yang sakral.

“Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah SWT. Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti.

“Kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU tersebut yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang,” katanya.

Katanya, sebaiknya pihak kerajaan membentangkannya supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.
-malaysiakini
---------

RUU 355: PAS Bidas Mufti Pulau Pinang

SHAH ALAM: Kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa Rang Undang-undang 355 tidak boleh disama taraf sebagai undang-undang Allah kerana ia usaha manusia, dilihat seolah-olah menjaga kepentingan politik parti tertentu.

Sambil membidas kenyataan itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali sebaliknya berkata, usul yang bakal dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bagi menegakkan perintah Allah.

“Apa kehendak Allah? Kehendak Allah ialah RUU ini memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan syariat Allah.

“Adakah selama ini dengan Akta 355 yang memberi kuasa kepada mahkamah syariah menghukum pesalah syariah hanya sekadar 3 tahun penjara, RM5,000 denda dan 6 kali sebatan itu bertepatan dengan syariah?

“Adakah mufti memperakui perkara ini? Adakah mufti bersetuju Akta 355 ini bertepatan dengan syariah?,” kata Khairuddin yang dipetik sebuah portal.

Semalam, Wan Salim meminta mana-mana pihak agar tidak mengkafirkan orang yang tidak bersetuju dengan usul Hadi yang mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).

Wan Salim berkata, seseorang tidak wajar memaksa mana-mana ahli parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT, tetapi RUU 355 hanyalah satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia,” petik kata mufti itu semalam – AP