"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amah bunuh majikan guna bantal

Pihak polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia kerana disyaki membunuh majikannya dengan menekup bantal ke wajah mangsa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan berkata, polis pada awal bulan ini menerima maklumat tentang wanita berusia 65 tahun yang terbaring tidak sedarkan diri di atas katil dengan sebuah bantal yang menutup wajahnya.

“Kita temui wanita itu dalam bilik utama dan jiran-jirannya mendakwa tidak mendengar sebarang bunyi bising. Adik mangsa turut memaklumkan bahawa pintu rumah kakaknya dikunci dari dalam,” kata Othman.

Katanya, mangsa sudah bersara dan tinggal di rumah itu dengan seorang pembantu rumah yang berusia 25 tahun. Suami warga emas itu pula sudah meninggal dunia 15 tahun lalu.

“Pasangan tersebut tidak mempunyai anak dan mangsa ada masalah jantung,” tambahnya.

Jelas Othman, suspek dipercayai telah melarikan diri sejurus kejadian terbabit.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia disebabkan asphyxiation dan terdapat kesan gigitan pada puting payudara kanannya.

Susulan itu, pihak polis menahan suspek pada Khamis berhampiran Negeri Sembilan.

Polis turut menahan seorang lelaki warga Indonesia yang berusia 29 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan jenayah itu.

Kedua-dua suspek akan direman sehingga 21 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori. 
-mstar

Anwar tidak mahu tawar diri jadi calon PM

FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak mahu menawarkan diri beliau sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebaliknya kata beliau, keperluan pada masa sekarang adalah memberi tumpuan sepenuhnya menghadapi PRU14.

“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri.

“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU.

“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.

Sebelum ini, PKR dan 2 lagi komponen PH menamakan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun sebagai bakal perdana menteri barisan pembangkang.

Kenyataan Anwar ini dilihat sebagai meredakan perasaan tidak senang yang didakwa wujud ekoran pendirian tidak sepakat di kalangan gabungan PH mengenai calon PM pakatan itu.

Awal bulan ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesediaan beliau kembali berkhidmat sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya.

Bagaimanapun menurut Pengerusi PPBM itu, beliau memerlukan sokongan penuh pemimpin dalam PH yang kini dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 berkata, beliau sanggup kembali berkhidmat “untuk seketika” jika tidak ada pilihan lain.

“Jika tidak ada calon, saya mungkin cuba, tetapi hanya dengan syarat semua orang setuju,” kata beliau yang berusia 92 tahun.

Kata beliau: “Saya tidak boleh mengabaikan rakan dalam PH. Jika mereka ada cadangan seperti itu dan dipersetujui, maka saya mungkin terpaksa mempertimbangkannya.”

“Pada masa ini, saya tidak setuju untuk menjadi perdana menteri…pada masa ini,” katanya.

Respons kepada kenyataan itu sebelum ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bukan keputusan Dr Mahathir untuk mengambil peranan kepimpinan dalam pembangkag.

“Bukan dia yang buat keputusan, tetapi PH yang buat keputusan. Orang tak tawarkan diri. Perlu ada konsensus,” kata Anwar.

Anwar sebagai penasihat atau ketua umum, Mahathir sebagai pengerusi, Wan Azizah sebagai presiden Pakatan Harapan?

PH sedang pertimbang dua struktur kepimpinan
MALAYSIA DATELINE
Amanah akhbar
Pakatan Harapan (PH) kini sedang menilai dua struktur yang melibatkan kedudukan tokoh-tokoh utama mereka sebelum didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, satu struktur itu adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat manakala Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengerusi Majlis Presiden.

"Satu lagi struktur adalah yang dicadangkan oleh Bersatu iaitu yang disiarkan oleh akhbar mingguan Amanah (gambar atas) yang sedang berada di pasaran sekarang," katanya kepada Malaysia Dateline.

Kedua-dua struktur ini sedang dipertimbangkan oleh pimpinan dan dijangka akan dibuat kata putusnya dalam mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan akhbar Amanah yang meletakkan struktur cadangan PH.

Dalam struktur itu, Anwar dicadangkan sebagai penasihat atau ketua umum manakala Mahathir sebagai pengerusi manakala Presiden PKR, Wan Azizah sebagai presiden.

Presiden tiga lagi parti gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dicadangkan sebagai timbalan presiden.

"Kedua-dua struktur ini sedang dipertimbangkan dari segi baik buruknya kerana ia mempunyai kelebihan masing-masing," kata Khalid.