FMT Reporters
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk tidak mahu menawarkan diri beliau sebagai calon perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Sebaliknya kata beliau, keperluan pada masa sekarang adalah memberi tumpuan sepenuhnya menghadapi PRU14.
“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri.
“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU.
“Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini.
Sebelum ini, PKR dan 2 lagi komponen PH menamakan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun sebagai bakal perdana menteri barisan pembangkang.
Kenyataan Anwar ini dilihat sebagai meredakan perasaan tidak senang yang didakwa wujud ekoran pendirian tidak sepakat di kalangan gabungan PH mengenai calon PM pakatan itu.
Awal bulan ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kesediaan beliau kembali berkhidmat sebagai perdana menteri jika gabungan pembangkang itu berjaya menawan Putrajaya.
Bagaimanapun menurut Pengerusi PPBM itu, beliau memerlukan sokongan penuh pemimpin dalam PH yang kini dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan PPBM.
Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 berkata, beliau sanggup kembali berkhidmat “untuk seketika” jika tidak ada pilihan lain.
“Jika tidak ada calon, saya mungkin cuba, tetapi hanya dengan syarat semua orang setuju,” kata beliau yang berusia 92 tahun.
Kata beliau: “Saya tidak boleh mengabaikan rakan dalam PH. Jika mereka ada cadangan seperti itu dan dipersetujui, maka saya mungkin terpaksa mempertimbangkannya.”
“Pada masa ini, saya tidak setuju untuk menjadi perdana menteri…pada masa ini,” katanya.
Respons kepada kenyataan itu sebelum ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berkata, bukan keputusan Dr Mahathir untuk mengambil peranan kepimpinan dalam pembangkag.
“Bukan dia yang buat keputusan, tetapi PH yang buat keputusan. Orang tak tawarkan diri. Perlu ada konsensus,” kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan