Mujahid Yusuf Rawa
Ramadan kali ini agak berbeza dengan sebelumnya, berbeza pada saya ialah apabila pada empat hari pertama Ramadan saya bertungkus lumus di Permatang Pasir bagi memenangkan calon kita dari Pas dan Pesuruhjaya saya yang diberi amanah menggalas tanggungjawab mempertahan satu-satunya kubu kuat Pas di Pulau Pinang.
Semasa waktu berkempen di Permatang Pasir sembahyang Tarawih pun tergesa-gesa, tak sempat mendengar Tazkirah Ramadan apatah lagi menghayati bacaan Al Quran yang meruntun jiwa. Tetapi walaupun demikian saya tidak kesal dengan empat hari Ramadan yang berlalu dalam “pertarungan politik” di Permatang Pasir kerana saya yakin keberadaan saya dalam kancah PRK baru-baru ini adalah medan jihad, medan dakwah dan medan tarbiyah dan yang paling utama ialah medan ukhuwah yang menjadi benteng kekuatan perjuangan Islam yang saya yakini.
Dalam kesibukan di medan, saya juga tidak dapat lari dari terpandang wajah Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah mendapat liputan yang meluas di dada-dada akhbar. Model sambilan yang menarik perhatian saya bukan kerana kejelitaannya walaupun sebagai model sambilan, saya harus akui, Kartika memiliki “cut commercial” tetapi Kartika terkenal kerana sebab yang tidak ada kena mengena dengan professionnya.
Kartika terkenal kerana kesalahan beliau meminum arak di khalayak ramai dan kemudiannya ditahan oleh penguatkuasa agama Pahang di Cherating. Penonjolan wajah Kartika di media kerana kesalahan seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (1982), dan Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (pindaan 1987).
Pada awalnya saya hanya membaca kes ini dengan tanggapan yang yang biasa kerana ini bukan pertama kali penguatkuasaan terhadap kesalahan meminum arak di khalayak ramai oleh seorang Islam berlaku. Saya sebagai seorang Muslim sudah tentu bersetuju undang-undang Islam mengikut peruntukan yang ada dikuatkuasakan, pertama meminum arak adalah haram, kedua perlakuan seorang Muslim meminum arak di khalayak ramai adalah akhlak yang keji dan memualkan serta ketiga perbuatan meminum arak dikhalayak ramai oleh seorang Muslim lelaki atau perempuan perlu diberi pengajaran kepada Muslim yang lain.
Saya melihat kes Kartika dalam perspektif yang syarie’ (undang –undang Islam) dan akhlaki (moral), tidak ada apa yang pelik dalam kes ini. Walaupun saya bersetuju bahawa hukuman sebenar kepada pesalah minum arak ialah 80 kali sebatan, tetapi saya menerima bahawa lebih baik ada dari ditiadakan hukuman ini, iaitu hanya enam sebatan sahaja!
Saya juga tidak dapat lari dari membaca tanggapan si pelaku dan tanggapan golongan “liberal” yang pasti akan “melompat” dengan berita ini dengan bertempik “tidak adil” dan “tidak kepada Polis Moral!”
Bagi si pelaku pula saya membayangkan beliau akan mempertahankan habis-habisan bahawa beliau tidak bersalah malah mungkin akan menyaman pihak penguatkuasa! Jangan salahkan saya jika tanggapan saya kepada golongan ini bersarang di kepala saya kerana asas terbentuk tanggapan ini ialah dari pengalaman lampau di Zouk, Bangsar di mana secara ringkasnya mereka mengutuk tindakan penguatkuasa agama malah si pelaku menyaman pihak berkuasa agama. Dari sinilah bermula perjuangan golongan liberal dari kalangan orang Islam yang mahukan “polis moral” dihapuskan.
Sebelum itu Allahyarham Mufti Selangor Datuk Ishak Baharom dikecam hebat kerana tindakan menahan seorang wanita Muslim berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai. Sikap Datuk Mufti Ishak Baharom mempertahankan enakmen itu membawanya kepada “pencen sebelum masanya”. Bukan setakat itu sahaja malah tindakan menahan atas peruntukan undang-undang yang ada dikecam oleh pelbagai pihak termasuklah pemimpin Umno sendiri. Hanya PAS ketika itu mempertahankan kesahihan tindakan dari sudut peruntukan enakmen yang ada.
Dengan pengalaman yang lampau dalam kes penguatkuasaan enakmen Syariah, saya terus mengandaikan kes Kartika akan mengikut rentak yang sama kerana saya tahu golongan Liberal masih “bernafsu” melihat apa sahaja yang diperuntukan dalam perlaksanaan Islam akan terus dipolemikkan bagi mencapai tujuan mereka iaitu “Piawaian Moral tidak perlu dipaksakan!”
Dalam kesempatan ini, pengalaman juga memberitahu kepada minda saya bahawa ada dari mereka yang bukan Islam akan “tumpang” sama dalam isu penguatkuasaan Islam ini kerana mereka juga sudah lama mempertikaikan kedudukan undang-undang Islam seolah-olah melebihi undang-undang sivil yang ada! Itulah perjuangan suci mereka bagi membuktikan undang-undang syariah bukanlah yang supreme di negara ini.
Namun di sebalik semua bacaan tadi bersandarkan pengalaman lalu, Kartika sebagai pelaku menunjukkan reaksi yang sangat berbeza. Berlainan dengan pelaku-pelaku sebelum ini Kartika memilih untuk menghormati undang-undang syari’ah yang ada malah begitu bersungguh-sungguh meminta supaya hukuman ini dilaksanakan ke atasnya. Dia redha dan pasrah dalam kata-katanya"saya telah menconteng arang di wajah keluarga saya, saya menerima hukuman sebatan ini sebagai menebus maruah dan menjadi pengajaran kepada orang Islam lain supaya tidak melakukan perkara keji ini, saya benar-benar insaf".
Subhanallah, ini umpama kata-kata mutiara yang bersinaran dalam selerakan kaca-kaca yang tidak pernah melihat keindahan syariat atau sekurang-kurang mengiktirafi enakmen undang-undang Islam yang masih ada. Dalam kesibukan pengamal undang-undang dan golongan liberal berbahas tentang kesahihan hukuman ini, Kartika pula bersiap sedia untuk menerima hukuman dengan dada yang lapang dan redha, malah sudah bergegas ke penjara untuk menanti hukuman enam kali sebatan.
Ketika diberitahu hukumannya terpaksa ditangguhkan atas sebab Ramadan (walaupun hakikatnya ialah soal teknikal dan konflik undang-undang), Kartika membuat laporan polis atas penangguhan ini kerana tidak mahu difahami oleh sesetengah pihak sebagai cuba lari dari dikenakan hukuman. Satu lagi tindakan Kartika umpama bintang yang berkelipan dalam kegelapan cahaya di mana hukuman undang-undang syariah selalu diperlekehkan dan dipersendakan.
Bagi saya kesungguhan Kartika dengan dorongan yang kuat oleh ayahnya adalah satu petunjuk kepada mulianya undang-undang syariah dimana ia dihormati disanjung dan berjaya membawa kesedaran tentang kejijikan “air setan” itu. Bukankah Kartika menjadi model keinsafan hasil “belaian” dan berkahnya undang-undang syariah?
Kalau bertanya kepada saya setakat model sambilan yang menjadi kerjaya Kartika tidaklah sehebat model keinsafan yang diraihnya kerana pengajaran dari undang-undang syariah yang diterimanya. Saya tidak mengenali Kartika namun jauh di sudut hati saya, saya dapat merasai keikhlasan dan ketulusan jiwa Kartika menerima kesalahanya yang dilakukan dengan penuh ketundukan kepada undang-undang syariah. Kartika memang wanita yang cekal dalam suasana pesalah syariah mengejek dan merendahkan undang-undang Islam. Biarlah saya memberi jaminan kepada Kartika bahawa sikapnya ini adalah contoh yang mulia yang layak mendapat petunjuk daripada Allah, Insyaallah.
Lain halnya dengan penonton yang melihat kes Kartika, mereka lebih sudu dari kuah, tidak ketinggalan menteri wanita yang melihat hukuman sebatan sebagai zalim. Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir tidak ketinggalan memberi pandangan dengan menganggap hukuman sebat adalah tidak bertamadun.
Saya pelik, banyak kes sebelum ini kalau pun bukan kesalahan jenayah telah menggunakan sebatan mengapa tiada siapa yang menganggapnya sebagai tidak bertamadun? Apabila adanya hukuman sebatan jenayah syari’ah bergegarlah “satu Malaysia” mengutuk hukuman sebatan 6 rotan kerana kesalahan jenayah syaria’ah.
PM “Satu Malaysia” kata komuniti antarabangsa sedang memerhatikan kita..saya tidak faham apa maksud PM, adakah ia isyarat jangan laksanakan hukuman syari’at kerana dunia tidak suka atau apa maksudnya? Kerana Kartika usaha untuk menghapuskan hukuman sebatan tercetus semula!
Apakah yang menjadi terlalu kontroversi kepada hukuman sebatan ini sehingga semua pihak tiba-tiba berminat? Saya perlu membuat penjelasan , khusus kepada pembaca yang menganggap saya terlalu obsess dengan hukuman sebatan ini ataupun mereka menganggap saya yang banyak bercakap tentang kepelbagaian tiba-tiba menjadi taksob kepada perlaksanaan syari’ah kerana bagi pihak tertentu memilih syari’ah itu adalah eksklusif dan tidak sesuai di Malaysia. Izinkan saya menjelaskan.
Pertama: Undang-undang syari’ah di Malaysia diiktiraf dan wujud sejak sekian lama dan instituisi undang-undang syari’ah melalui berbagai perkembangan. Memandangkan Islam sebagai agama resmi persekutuan sewajarnya undang-undang syari’ah dihormati dan disanjungi sebagai identiti rakyat Malaysia, ini juga adalah kerana Raja-raja Melayu pelindung syaria’t.
Kedua: Undang-undang syari’ah di Malaysia adalah di bawah kuasa Kerajaan negeri dan kuasa itu diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah senarai negeri-negeri. Setiap warganegara harus menghormati peruntukan syari’at ini.
Ketiga: Undang-undang syari’at hanya dipakai untuk orang Islam, jadi yang bukan Islam tidak harus berasa mereka dipaksa, mereka hanya dituntut untuk menghormatinya sebagai undang-undang yang berdaulat dan berwibawa.
Namun apa yang diterima sebagai hukuman jenayah syari’at di Malaysia tidaklah lengkap, kita hanya melaksanakan sebahagian daripada syariat dan bukan sepenuhnya, tetapi saya dapat menerima kaedah Islam yang mengajar saya “apa yang tidak dapat dilaksanakan semuanya maka sebahagian yang ada jangan ditinggalkan”.
Tetapi apa yang saya kesal ialah dalam suasana tidak lengkap itu, institusi syari’at masih ketinggalan hasil dari sikap acuh tak acuh Kerajaan yang tidak ada kekuatan politik untuk memastikan undang-undang syariat diperkasakan, walaupun undang-undang syariat diiktirafi oleh perlembagaan persekutuan. Antaranya ialah tiada peruntukan tahanan di bawah mahkamah syari’at, tiada penyebat yang menyebat dengan cara sebatan syari’at yang jauh berbeza dan lebih bersifat rahmah dari sebatan sivil. Sebab itu tidak heranlah dalam kes denda sebatan hanya beberapa kes sahaja yang dapat dilaksanakan, malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengakui bahawa aspek perlaksanaan denda syaria’t termasuk sebatan mempunyai berbagai kekurangan.
Saya memuji Kartika bukan sahaja kecekalan Kartika mentaati perintah syari’at tetapi dengan ketegasannya untuk dikenakan hukuman syariat ke atasnya, Kartika telah mendedahkan kelemahan institusi perlaksanaan syariat. Orang ramai pula menyamakan sebatan sama dengan sebatan sivil, memang tidak dapat disalahkan tanggapan mereka termasuklah tanggapan Tun Dr Mahathir kerana Kerajaan tidak menyediakan peruntukan sebatan cara syariat yang syaratnya ketat supaya tidak mencederakan , ia lebih kepada mengajar daripada mendera, bukan seperti sebatan sivil yang dengan sekali sebatan cukup mensoyakkan kulit si pelaku! Bukankah dah tiba masanya institusi undang-undang syariah di Malaysia diperkasakan?
Dalam menjawab persoalan itu semua, tidak terbayang oleh rakyat Malaysia bahawa Kartikalah yang telah menyedarkan kita tentang perlunya semua ini, memang ajaib, seorang model sambilan yang telah melakukan kesalahan syari’at membuka jalan kepada perlaksanaan syariah yang lebih berkesan, ini semua kerana berkat Kartika mentaati perintah Allah dan Rasulnya. Sesungguhnya bulan Ramadan membawa kebaikan kepada umat ini dan ketika rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan ke 52, Kartika seoalah-olah bertanya kepada kita merdekakah undang-undang syari’at di Malaysia?
1 ulasan:
Undang2 syariah kita akan terus dipetisejukkan walaupun tidak dibakulsampahkan selagimana pemerintah buta kebaikan agama wahyu ini keseluruhannya.kesilapan umat(baca penyokong umno)mengekalkn pimpinan DAYUS menyebabkn ISLAM yg syumul ini dipinggirkan. bukankah antara ciri lelaki DAYUS itu ialah membiarkan ISTERI DAN ANAK2 PEREMPUANNYA MENDEDAHKAN AURAT.
Catat Ulasan