"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persatuan Islam dan kristian UM setuju kaedah dialog

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 8 Jan:
Dua pertubuhan agama Universiti Malaya (UM) iaitu Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Kristian Varsiti Universiti Malaya (PKVUM) semalam mencapai persefahaman berhubung isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam.

Kedua-duanya telah bersetuju bahawa wacana dan dialog antara agama jalan terbaik demi menolak budaya saling prasangka terhadap agama masing-masing.

Dalam pertemuan semalam, Shazni Munir Mohd Ithin yang mewakili PMIUM dan Benjamin Ong yang mewakili PKVUM juga bersetuju bahawa pendidikan agama kepada penganut masing-masing perlu dititikberatkan, khususnya dalam hal-hal teras.

Kedua-dua pertubuhan tersebut juga bersependapat bahawa kalimah ‘Allah’ tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan provokasi oleh pihak-pihak tertentu.

Selain itu, turut dipersetujui bahawa mahkamah bukanlah satu-catunya jalan keluar terhadap isu permohonan Gereja Katholik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar mingguan, The Herald malah pendekatan lebih murni seperti idalog dan wacana lebih berkesan.

“(Badan) Perundangan bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan permasalahan yang ada dalam keadaan keputusan-keputusan mahkamah tersebut boleh dimanipulasi oleh sesiapa sahaja,” kenyataan media bersama PMIUM dan PKVUM dipetik.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang berlatarbelakangkan agama sama ada Islam atau bukan Islam juga diseru agar menggiatkan lagi usaha pendidikan ke atas penganut masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akan mencadangkan PAS menggunakan ‘Wacana Ilmiah’ dengan NGO berkaitan serta pihak Gereja Roman Katholik sendiri berhubung isu guna nama ‘Allah’ ini dalam mesyuarat PAS Pusat hujung minggu ini.

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) turut dilaporkan akan bertemu dengan Ketua Paderi Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam dalam masa terdekat demi menangani isu sensitif tersebut.

Tiada ulasan: