"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KDN berjaya tangguh guna nama Allah

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menangguhkan keputusan membenarkan mingguan Katholik - Herald - menggunakan kalimah Allah.

Hakim Lau Bee Lan membenarkan permohonan tersebut sementara menunggu perbicaraan rayuan KDN terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Khamis lalu.

Peguam bagi pihak mingguan berkenaan tidak membantah permohonan tersebut atas kepentingan nasional.

Permohonan tersebut didengar dalam kamar hakim. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mewakili KDN manakala Derek Fernandez dan Benjamin Dawson mewakili Herald.

"Kami membuat permohonan dan peguam yang mewakili Gereja Katholik bersetuju dengan penangguhan tersebut, atas kepentingan nasional," kata Abdul Gani.

Fernandez bersetuju bahawa pihak gereja bersetuju dengan pemohonan peguam negara itu.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai hendaklah berhenti daripada terus membuat komen mengenai keputusan berkenaan.

"Kami (Roman Katholik) adalah orang yang cintakan keamanan dan komen (yang tidak baik) adalah tidak wajar," katanya.

"Kami mahu peguam negara mengambil tindakan terhadap individu-individiu yang membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Turut hadir ialah editor Herald Father Lawrence Andrew yang bertemu dengan Abdul Gani dalam bilik saksi sebelum permohonan itu didengar.

Dalam keputusannya pada 31 Disember, Hakim Lau membenarkan Herald menggunakan perkataan Allah dalam seksyen bahasa Malaysia.

Keputusan itu telah mencetuskan bantahan umat Islam yang berpendapat bahawa kalimah 'Allah' adalah ekslusif untuk Islam sahaja.

Sementara itu, Hakim Lau juga menolak permohonan enam Majlis Agama Islam dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (Magma) untuk berhujah dalam permohonan KDN itu.

Enam Majlis Agama Islam itu adalah dari Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Hakim Lau telahpun menolak permohonan mereka untuk menjadi pencelah dalam kes berkenaan.

Enam majlis tersebut dan Magma juga turut memfailkan ratyuan terhadap keputusan Hakim Lau menolak permohonan mereka menjadi pencelah serta keputusannya yang memihak kepada Herald.

-malaysiakini-

Tiada ulasan: