"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tampil sebagai orang celik untuk bimbing orang buta

Apa pun tanggapan orang, saya sangat berpuashati dengan kenyataan rasmi PAS berkaitan isu penggunaan nama Allah. Ada tiga asas penting yang terkandung dalam kenyataan rasmi ini.

Pertama, PAS menghormati kebebasan beragama. Kedua, penggunaan nama Allah oleh Kristian dan Yahudi dibenarkan. Dan ketiga, jangan gunakan pada tempat yang salah.

Tentu yang paling menyerlah ialah kesediaan PAS untuk menjelaskan isu ini kepada sesiapa sahaja untuk menjamin keharmonian rakyat.

Ketiga-tiga asas penting itu serasi dengan ruh Islam dalam hubungan antara agama, serasi dengan Kerangka Dasar Pakatan Rakyat dan serasi juga dengan situasi negara berbilang agama dan bangsa.

Kesediaan PAS menjelaskan isu ini kepada sesiapa sahaja yang keliru boleh diumpamakan seperti ‘kesediaan orang celik memperkenalkan gajah sebenar kepada orang buta’. Orang celik tidak memencilkan orang buta dan orang buta pula tidak terasa dipinggirkan.

Selama ini ramai yang marahkan orang buta kerana memberikan gambaran yang salah mengenai gajah. Ada yang tertawa, ada yang mengejek, ada yang mencebik. Hanya itu yang ramai, tetapi tidak ramai yang menjadi orang celik.

Keagungan nama Allah tetap terpelihara dan peluang untuk melebarkan dakwah juga terbuka luas.

Hanya satu sahaja yang tidak boleh, iaitu menyalahgunakan nama Allah. Bukan sahaja orang Kristian atau Yahudi, orang Islam pun sama. Menyalahguna, antara maksudnya ialah menghina.

Bukan sekadar orang Yahudi atau Kristian tidak boleh menghina Allah, orang Islam sendiri tidak boleh menghina penyembah berhala, bahkan tidak boleh juga menghina berhala itu sendiri.

Berhala yang memang hina itu pun tidak boleh dihina, apatah lagi nama Allah dan zat Allah yang Maha Agung. Allah Azza wa Jalla. Allah Jalla Jalaluh. Allahu Akbar.

Indah benar ajaran Islam. Keindahan Islam bukan sekadar dirasai, dikecapi, dinikmati oleh orang Islam, malah orang bukan Islam juga. Bukankah Islam adalah rahmat untuk semua?

Dilihat dari sudut pandang mana pun, pendirian PAS ini menguntungkan. Ya, menguntungkan Islam, rakyat berbilang agama dan bangsa juga masa depan dakwah Islam di negara ini. Dan, tentunya masa depan politik PAS.

PAS adalah parti politik. Adalah dangkal kalau sebarang keputusan PAS merugikannya dari sudut perkiraan politik. Keuntungan politik kepada PAS adalah keuntungan kepada perjuangan Islam juga.

Tanya Tok Guru Nik Aziz, bolehkah dia melakukan perubahan di Kelantan sekiranya dia tidak memiliki kuasa politik? Begitu juga, bolehkah PAS menampilkan Islam dalam wajah dan rupanya yang tulin jika PAS tidak mengambil kira politik dalam sebarang keputusan dan sikapnya.

Bolehkah PAS mempertahankan keagungan nama Allah dan zat Allah jika tanpa kuasa politik?

Isu nama Allah adalah isu agama. Agama itu apa kalau bukan politik di dalamnya?

Umat Islam menjadi hina bukan kerana mereka tidak bersolat, tidak berpuasa, tidak berhaji, tidak berzakat, tidak berkahwin, tidak berpoligami, tidak…, tetapi mereka menjadi hina kerana mereka kehilangan kuasa politik.

Bukankah itu yang dirakam oleh sejarah dan dapat dilihat kesannya hari ini? PAS kalah dalam pilihanraya bukan kerana orang PAS tidak bersolat, tetapi kerana tidak bijak berpolitik.

Orang PAS mesti ‘bijak’ bersolat dan ‘bijak’ berpolitik. Ya tak ya juga, macam mana boleh berlaku, orang Islam pandai solat tapi tak pandai politik? Pandai puasa tapi tak pandai politik? Pandai haji tapi tak pandai politik? Eh, bukankah ibadah haji ada unsur politik di dalamnya?
http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: