"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS kongsi kebimbangan kebanjiran rakyat asing

PAS berkongsi kebimbangan dengan rakyat Malaysia yang kini begitu resah dengan kebanjiran warganegara asing khususnya pendatang tanpa izin atau tinggal melebihi waktu.

"Pekerja asing yang berpermit sahaja kini sudah melebihi 2.1 juta orang dan mereka bekerja dipelbagai sektor," kata ketua penerangannya, Idris Ahmad.

"Manakala mereka yang dikategorikan sebagai pendatang tanpa izin dan tinggal melebihi waktu yang tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasan berjumlah sekitar 500,000 hingga 800,000 orang," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sektor keselamatan (pengawal keselamatan) negara kini dikuasai warganegara Nepal, pembantu rumah dikuasai warganegara Indonesia manakala restoran mamak pulak dikuasai warganegara India, begitu juga dengan sektor perkilangan, perladangan dan sebagainya.

"Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah kewujudan koloni-koloni khas bagi warganegara asing ini hingga merubah suasana negara ini dan menakutkan rakyat.

"Di Lembah Klang sahaja kita boleh melihat beberapa kawasan dikuasai warganegara asing. Chow Kit dikuasai warganegara Indonesia, Pasar Selayang dikuasai warganegara Myanmar dan Bukit Jalil dikerumuni warganegara dari Afrika," tegasnya.

Selain menguasai kawasan perniagaan, kata Idris, peningkatan kadar jenayah ragut, rompak, cabul, rogol dan gangguan ketenteraman awam, juga meningkat di kalangan warganegara asing hingga menimbulkan rasa takut di kalangan warga tempatan

"Pada musim cuti perayaan pula, kita boleh melihat Kuala Lumpur bertukar wajah dan indentiti sebagai ibu negara Malaysia hilang dengan sekelip mata dengan kebanjiran warganegara asing. Sebaiknya Imigresen membuat operasi di ibu negara pada musim-musim cuti bagi memantau hal ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS berharap jabatan imigresen terus meningkatkan operasi membanteras pendatang tanpa izin dan mereka yang tinggal melebihi waktu yang dibenarkan.

"Tahun lepas sahaja Kerajaan mengakui mereka gagal mengesan 40,000 warganegara India yang tinggal melebihi waktu. Kegagalan ini amat dikesali kerana tiada sistem pemantau dibuat terhadap warganegara asing yang datang ke negara ini mengunakan visa ketibaan, visa pelajar atau visa pelancong.

"PAS juga kesal kerana kerajaan gagal mengawal kebergantungan negara terhadap pekerja asing sedangkan berpuluh ribu pekerja tempatan bakal menganggur selepas ditamatkan kontrak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mulai Mac ini," katanya.

Menurut Idris lagi, ketelusan pengeluaran permit pengambilan pekerja asing masih boleh dipertikaikan kerana kerajaan beberapa kali membekukan kemasukan pekerja asing dari beberapa negara tetapi mendakwa, secara senyap-senyap ada pula kelulusan khas dari pihak menteri.

"Bahagian Pengurusan Pekerja Asing di Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab penuh dengan kebanjiran pekerja asing yang berlaku hari ini.

"PAS difahamkan bahawa dalam Bahagian ini terdapat tiga jenis kelulusan, iaitu kelulusan dari pegawai penilai (ikut prosedur biasa), kelulusan dari pegawai atasan hingga peringkat KSU (rayuan) dan kelulusan khas dari menteri atau setiausaha-setiausahanya.

"PAS paling bimbang kelulusan khas yang dikeluarkan dari pejabat menteri kerana terdapat beberapa kes yang memang tidak layak atau syarikat-syarikat yang diberi konsensi khas bagi membawa masuk pekerja asing untuk diagih-agihkan oleh ejen-ejen lain," katanya.

"Paling menarik, selama ini kita hanya mendengar permit pembantu rumah kalangan wanita, kini sudah ada permit untuk pembantu rumah di kalangan lelaki pula.

"PAS melihat bahawa dasar pengambilan pekerja asing sepatutnya dipertegaskan bukan dilonggarkan hingga memberikan begitu banyak masalah dalam masyarakat," katanya.

Malah, tambah Idris, kos penghantaran pendatang tanpa izin juga meningkat setiap tahun dengan minima adalah RM 3.5 juta setahun.

"PAS berharap agar kerajaan mengambil langkah serius bagi mengawal masalah ini dan berharap agar undang-undang serta penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan negara ini masih kekal berwajah Malaysia," tegasnya.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: