PUTRAJAYA, 17 Feb: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan rayuan esok ekoran keputusan Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya untuk membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.
Bercakap kepada pemberita, peguam beliau, Karpal Singh memaklumkan rayuan dan satu permohonan tangguh akan dibuat pagi esok.
"Rayuan kami ditolak, kami akan buat rayuan dan satu permohonan 'stay' esok pagi," katanya.
Pada masa yang sama, Anwar yang turut hadir besama isteri dan anak-anaknya memaklumkan tidak mudah untuk menjangkakan keputusan mahkamah ekoran beliau turut mengheret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dan isteri dalam kes tersebut.
"Alasan peguam kuat, tapi kita nak jangka keputusan tegas hakim tak mudah apabila kita kaitkan penglibatan Datuk Najib dan Rosmah daripada awal.
"Bagaimanapun kita ikut proses undang-undang, peguam akan siapkan dan saya akan kemukakan rayuan," katanya
Mahkamah Rayuan melalui panel tiga hakim iaitu Hakim Datuk Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma'ah sebulat suara menolak rayuan Anwar siang tadi.
Menurut hakim, adalah tiada kes untuk membenarkan rayuan Anwar tersebut dan perbicaraan kes liwat terhadap Anwar hendaklah diteruskan.
Mahkamah juga menolak permohonan Anwar agar perbicaraan kes itu yang sedang berjalan, ditangguhkan sehingga rayuannya terhadap keputusan hari ini didengar di mahkamah Persekutuan.
Hakim Abu Samah berkata bahawa mahkamah berpendapat Anwar gagal membuktikan pertuduhan atau pendakwaan terhadap beliau bersifat tidak adil dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Anwar, 63, sedang dibicarakan terhadap pertuduhan meliawat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.
Perbicaraan kes itu akan bersambung esok dan akan mendengar keputusan hakim sama ada akan menarik diri ekoran dakwaan pihak pembelaan kononnya beliau berat sebelah. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan