KUALA LUMPUR, Feb 20: Penyanyi era 80-an, Rashid Abdul Wahab atau Shidee yang popular dengan lagu-lagu cinta, kini berhadapan dengan cinta kontroversi yang timbul akibat tiada restu ibu mertuanya.
Perkahwinan Shidee, 51, dengan Khairunnisa Aziz, 22, pada 1 Feb lalu mendapat tentangan ibu mertuanya, Jamaliah Hassan, 45, yang dikatakan turut memendam perasaan cinta terhadapnya.
Akibatnya, Jamaliah telah membuat laporan polis pada Januari lalu mendakwa anak gadisnya itu dilarikan oleh penyanyi yang popular dengan lagu “Sayang Semuanya Sudah Terlambat” itu.
Khairunnisa pula membalas laporan polis itu dengan menafikan dia tidak dilarikan, sebaliknya keluar rumah ibunya dengan rela hati.
Polis bagaimanapun tidak membuka kertas siasatan kerana menganggap ia masalah rumah tangga.
Bagi menjelaskan kontroversi ini, Shidee yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, ia berpunca daripada salah faham ibu mertuanya itu.
“Sepanjang perkenalan empat tahun lalu, saya amat menghormati ibu mertua saya sebagai ibu kepada isteri yang saya cintai dan perasaan itu tidak lebih daripada itu.
“Mungkin dia salah anggap rasa hormat saya itu dan menganggap saya sebenarnya memendam perasaan cinta kepadanya.
“Jadi, apabila saya menyatakan niat untuk menikahi anak gadisnya, barulah timbul rasa tidak puas hati punca daripada salah faham itu,” kata beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Jelas Shidee, tidak timbul isu melarikan isterinya kerana pernikahan dijalankan secara sah dengan berwalikan bapa saudara isteri, malah ibu mertuanya turut menghadiri majlis pernikahan.
Khairunnisa pula berkata, ibunya pernah cuba menghalangnya untuk meneruskan perkahwinan dengan Shidee kerana tidak dapat menerima hakikat rasa cintanya tidak berbalas.
“Ibu salah faham ingat abang Shidee suka padanya, jadi masalah mula timbul apabila abang menyatakan hasrat nak memperisterikan saya.
“Saya berdoa agar ibu dapat memaafkan saya serta terbuka pintu hati menerima hakikat yang ini adalah pilihan hidup saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jamaliah menjelaskan tindakannya menentang perkahwinan anaknya itu bukan kerana dia menyimpan rasa cinta kepada Shidee.
“Saya buat laporan polis kerana nak selamatkan anak saya. Shidee sudah tua dan tidak bekerja. Dia tak sesuai untuk anak saya, ibu mana yang tak sayang anak,” katanya.
Jamaliah berkata, Shidee yang tidak mempunyai rumah telah tinggal dengan keluarganya sejak empat tahun lalu.
Katanya, dia terkejut dengan perubahan sikap Shidee yang mahu mengahwini anak bongsunya itu kerana sebelum ini menganggap Khairunnisa sebagai anaknya sendiri.
“Saya dan Shidee adalah rakan kongsi perniagaan. Saya banyak bantu Shidee dari segi kewangan,” ujarnya.
Jamaliah turut menyatakan rasa keliru dengan sikap Shidee yang sebelum ini pernah mencipta lagu berjudul “Jamilah” yang hampir sama dengan namanya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan