"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan Khianat Rakyat Kelantan - PR

Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah, begitu kata Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub ketika diminta mengulas rancangan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan wang ehsan kepada projek tertentu di Kelantan.

Semalam, Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad dilaporkan sebagai berkata sejumlah RM20 juta dalam bentuk wang ehsan akan disalurkan untuk program tertentu seperti projek perumahan rumah baru.

Salahuddin membidas dan berkata royalti minyak RM2 bilion yang dihutang Kerajaan Pusat kepada rakyat Kelantan sudah memadai bukan sahaja untuk membina projek rumah baru, bahkan juga pelbagai program pemberdayaan masyarakat.

"Kajian mendapati hampir RM2 bilion sepatutnya diberikan kepada Kelantan, berdasarkan kiraan sejak tahun 2004 dari hasil di perairan tanahair dan di kawasan tuntutan bertindih (dengan Thailand)," kata Salahuddin.

Mustapa turut berkata Kerajaan Pusat akan meneruskan rancangan ini sekiranya Kerajaan Negeri enggan bekerjasama.

Selain itu, media juga akan dikerah untuk menjelaskan kepada rakyat Kelantan mengapa mereka hanya layak menerima ehsan pemerintah, dan bukan royalti minyak.

"Kita tidak iktiraf wang ehsan ini kerana ia tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan
Perlembagaan. Kerajaan Pusat telah mengkhianati perjanjian yang dimeterai bersama Kerajaan Negeri khasnya, dan rakyat Kelantan umumnya," tegas Salahuddin.

Rizab gas di perairan Kelantan mencecah 822 bilion kaki padu, dengan blok Medan Bintang hanya terletak 60 batu dari pesisir pantai.

Pengeluaran sudah bermula sejak 1984 lagi, namun tiada pembayaran royalti dibuat. Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah gagal menyakinkan Kerajaan Pusat untuk menyerahkan royalti yang menjadi hakmilik rakyat Kelantan.
-tvselangor-

Tiada ulasan: