"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SIS bidas tindakan Jabatan Penjara sebat 3 wanita Islam

G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Feb 18: Sisters in Islam (SIS) membidas tindakan Jabatan Penjara melaksanakan hukuman sebatan ke atas tiga wanita Islam berhubung kesalahan mengadakan seks haram dengan menganggapnya sebagai satu diskriminasi terhadap kaum wanita.

Pengarah Eksekutif SIS Dr Hamidah Marican berkata, tindakan merotan telah mencabuli hak sama rata dan tidak harus ada diskriminasi sebagaimana dijamin perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah.

“Sisters in Islam terkejut dengan (laporan) bahawa Jabatan Penjara telah menjalankan hukuman merotan tiga wanita Islam kerana kesalahan Syariah,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mengambil kira beberapa isu yang belum diselesaikan termasuk kes Kartika Sari Dewi Shukarnor yang turut dikenakan hukuman sebatan, Hamidah berkata, “kami mempersoalkan motif kerajaan meneruskan pelaksanaan hukuman merotan ke atas tiga wanita Islam (terbabit).”

Hamidah menambah, dengan melaksanakan hukuman ke atas mereka tindakan itu secara tidak langsung menggambarkan yang kerajaan cuba menyembunyikan layanan tidak adil dan memalukan ini daripada pengetahuan orang ramai.

“Kami ingin tahu sama ada lelaki yang terbabit juga didapati bersalah kerana kesalahan persetubuhan haram dan turut dikenakan hukuman dan dirotan,” katanya.

Oleh itu kata beliau, Sisters In Islam menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan kes-kes berkaitan hukuman sebatan ke atas wanita-wanita ini dan juga membabitkan Kartika, yang belum diselesaikan.

Malah kata beliau, kerajaan juga perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman kejam.

Tambahan pula Hamidah menegaskan, kajian juga menunjukkan merotan bukan satu bentuk hukuman berkesan, malah bagi jenayah-jenayah keganasan ataupun seks.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tiga orang wanita Islam telah menjalani hukuman sebatan minggu lalu, menjadikan yang pertama menjalani hukuman ini di bawah undang-undang Syariah kerana mengadakan hubungan seks haram.

Hukuman dijalankan di Penjara Kajang 9 Feb lalu.

Langkah melaksanakan hukuman sebatan ke atas wanita mencetuskan kontroversi tahun lalu selepas bekas model sambilan, Kartika yang dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu setelah mengaku bersalah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Tarikh pelaksanaan hukuman itu akan diputuskan selepas pertemuannya dengan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

-malaysianinsider-

- hah tu dia cik kak kita dah melompat buka kitab hak asasi antarabangsa nya - kerengga

Tiada ulasan: