"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas timbalan menteri keluar BN

Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Kalakau Untol, hari ini mengumumkan perletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan keanggotaan beliau dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di Tamparuli.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.

NONEDengan perletakan jawatan dan keanggotaan dalam BN tersebut, beliau juga mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihanraya umum ke-13.

Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan nampaknya tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para wakil rakyat dari Sabah dan pihak kerajaan negeri Sabah sendiri.

NONE"Saya yakin dengan kesepakatan pimpinan Pakatan Rakyat dalam konvensyen yang pertama yang diadakan tahun lalu, di mana mereka bersetuju menyemak semula kepentingan negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam 20 Perkara untuk Sabah dan 18 Perkara untuk Sarawak, seperti yang telah dipersetujui dalam rundingan pelbagai pihak semasa penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963.

"Perkara dan agenda ini hanya akan dapat direalisasikan dengan pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang baru di bawah pimpinan Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan isu pendatang tanpa izin (Pati), perkara ini yang telah berlarutan sekian lama tidak akan dapat diatasi oleh pemerintahan kerajaan BN," tambah beliau.

"Pakatan Rakyat pada konvensyen tersebut mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Diraja. Jadi saya bertekad membantu Pakatan Rakyat memberi penjelasan ke seluruh negeri," tambah beliau

Menjawab satu soalan, Kalakau bagaimanapun berkata beliau belum menyertai mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat.

Kalakau, yang juga merupakan presiden Persatuan Dusun Sabah Bersatu (Usda), juga pernah berkhidmat sebagai Senator sehingga tamat penggalnya pada Dis 2005.

-Bernama-

Tiada ulasan: