"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kami sudah bersedia pertahan kerusi Batu, kata Pakatan

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Komponen Pakatan Rakyat (PR) sudah memulakan langkah persiapan menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Batu — pilihan raya kecil pertama di Wilayah Persekutuan selepas Mac 2008.

Kerusi itu kemungkinan besar akan diisytiharkan kosong ekoran hukuman denda RM2,000 dikenakan ke atas Ahli Parlimen Tian Chua oleh Mahkamah Tinggi selepas menolak rayuannya semalam.

Hukuman denda RM2,000 sudah cukup memadai untuk menganggap kerusi itu kosong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti implikasi hukuman semalam.

Tian Chua wakil rakyat penggal pertama memenangi kerusi itu pada 8 Mac 2008.

Meskipun Hakim Datuk Ghazali Cha mengurangkan denda bagi mengelakkan pilihan raya kecil, tetapi peguam veteran Karpal Singh berkata, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan adalah jelas kerusi Batu telah kosong.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, partinya akan menyokong pilihan PKR untuk menurunkan calon mereka di kawasan yang mempunyai 80,000 pengundi.

Batu merupakan salah satu daripada 10 kerusi dimenangi calon PR pada pilihan raya umum lalu.

Wilayah Persekutuan memperuntukkan 11 kerusi.

“Kami sedang bersiap sedia untuk kemungkinan pilihan raya kecil di Batu dan akan menyokong pilihan PKR jika ia diputuskan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang kepada The Malaysian Insider hari ini.

Mengenai kemungkinan calon yang berwibawa untuk diturunkan, Lim berkata, PKR mempunyai beberapa calon tetapi Datuk Zaid Ibrahim yang tewas di Hulu Selangor April lalu merupakan wakil PR untuk kerusi kawasan bandar ini.

“Itu terserah kepada PKR tetapi Zaid adalah calon yang sesuai,” katanya.

Lim juga berkata, DAP Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuaratnya tidak lama lagi untuk membincangkan strategi PKR mengekalkan kerusi berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata partinya belum membuat sebarang keputusan konkrit berhubung kemungkinan tersebut.

Bagaimanapun katanya, sama ada SPR akan memanggil pilihan raya kecil atau tidak kemungkinan besar bergantung pada kehendak Barisan Nasional (BN).

“Lebih-lebih lagi mereka bertanggungjawab kepada Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Fuziah memberitahu, jika benar hakim mahkamah mahu menjaga kepentingan rakyat dengan mengelakkan pilihan raya kecil, maka beliau harus meneliti semula penghakimannya mengenakan denda RM2,000.

Oleh itu kata Fuziah, nasib Tian Chua hari ini berdasarkan “penghakiman satu sen.”

“Ia persoalan penghakiman satu sen. Jika denda yang dikenakan RM1,999.99 (kurang satu sen), beliau sudah terlepas daripada implikasi (hilang kerusi),” katanya.

“Hakim seharusnya menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mengkaji semula denda dikenakan.

“Dan, kini ia antara satu sen dan beribu atau berjuta ringgit yang akan dibelanjakan dalam pilihan raya kecil,” katanya.

Pun begitu, Ahli Parlimen Kuantan ini berkata, jika pilihan raya kecil diadakan PKR yakin akan mempertahankan kerusi tersebut atas faktor sumbangan Tian Chua selama ini.

“Saya tidak mahu kata apa yang akan berlaku kemudian hari, tetapi saya tahu bahawa dalam dua tahun sejak menjadi Ahli Parlimen, Tian Chua telah bekerja kuat, sangat kuat.

“Saya yakin dalam pilihan raya akan datang, jenteranya sudah bersiap sedia dan akan bersedia (untuk turun gelanggang,” katanya.

Ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad ketika dihubungi juga berkata, pihaknya mula bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di Batu.

“Dalam pilihan raya dipanggil, walaupun ia sesuatu yang malang, kami akan menggerakkan sokongan untuk menyokong calon Pakatan Rakyat,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini.

Bagaimanapun beliau menekankan seorang calon yang kredibel harus dipilih untuk mengisi tempat Tian Chua.

Tian Chua memenangi kerusi itu dengan menewaskan calon BN dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi pada 8 Mac lalu.

-Reuters-

Tiada ulasan: