"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah: Anggota polis trafik dipenjara setahun, denda RM20,000

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis trafik berpangkat konstabel hari ini dipenjara setahun dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menerima sogokan wang tunai RM370 dan sebuah telefon bimbit daripada seorang peniaga, dua tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Konstabel Mahazan Mat Halim, 28, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berhubung dua pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Mahazan yang bertugas di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, kelihatan sebak sebaik mahkamah mengumumkan keputusan itu.

Bagaimanapun, Hakim Abu Bakar membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap Mahazan ditangguhkan dan mengarahkan peguam Mohd Hairani Samsi memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum jam 2 petang esok.

Mahazan dituduh menerima sebuah telefon bimbit jenama Nokia model 6120 dan wang tunai RM20 daripada Zainuddin Maiden sebagai dorongan untuk tidak menyaman peniaga itu yang melakukan tiga kesalahan lalu-lintas, iaitu memandu sambil menggunakan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar serta cukai jalan tamat tempoh.

Dia dituduh melakukan kesalahan pertama itu di Batu 5 1/2, Jalan Cheras-Kajang berhampiran Taman Midah, Cheras di sini, pada 7.30 malam, 3 Mac 2008.

Bagi kesalahan kedua, Mahazan dituduh sekali lagi menerima wang tunai RM350 daripada Zainuddin di Stesen Minyak Shell, Jalan Maharajalela di sini, dua hari selepas itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari maksimum 20 tahun, dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi, bagi setiap kesalahan.

Ketika meminta hukuman ringan, Mohd Hairani berkata, ini adalah kesalahan pertama Mahazan yang berasal dari sebuah keluarga miskin di Perlis, dan nilai rasuah juga agak kecil.

Sepanjang perbicaraan kes yang memakan masa lebih kurang setahun, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Azizun Mohamad, mengemukakan 13 saksi, manakala Mahazan memberi keterangan bagi pihak pembelaan.
-Bernama-

Tiada ulasan: