"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murugiah cadang sertai MIC atau Gerakan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah, yang dipecat dari Parti Progresif Penduduk (PPP) pada 16 Mei tahun lalu, hari ini berkata beliau sedang menimbang kemungkinan menyertai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau kemungkinan parti yang akan disertainya adalah MIC atau Gerakan.

Keputusan itu bergantung kepada perbincangan yang akan diadakan dengan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak tidak lama lagi, katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah kerosakan tebing Jalan Pasir Puteh-Pengkalan di Ipoh.

"Saya telah menulis surat memohon tarikh yang bersesuaian dan setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada Perdana Menteri, saya akan jumpa penyokong dan seterusnya putuskan parti mana yang saya nak masuk.

"Apa yang pasti saya langsung tidak ada niat untuk membuka parti baru apatah lagi menyertai parti pembangkang," tegasnya.

Murugiah dipecat selepas beliau didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri untuk mengadakan sidang akhbar yang mencemarkan imej dan nama baik parti serta mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap parti, majlis tertinggi dan pucuk pimpinannya.

Turut dipecat ialah ketua PPP Selayang K Tanggaraju, exco pemuda S Kanesan, S Saravanan, Jeyaratnam Manium dan bekas anggota MT R Rajandran dan N Shanmuganathan.

Pemecatan mereka diputuskan oleh majlis tertinggi PPP yang juga bertindak sebagai jawatankuasa disiplin parti itu.

Murugiah berkata walaupun secara dasar parti komponen BN mempunyai 'persefahaman' bahawa sesebuah parti itu tidak boleh menarik atau menerima ahli dari parti komponen lain, namun dalam situasi kini, beliau tidak lagi menjadi ahli mana-mana parti.

Katanya Perdana Menteri sangat arif dengan apa yang berlaku ke atas dirinya dan isu pemecatan tersebut.

Menurutnya sekiranya diberi lampu hijau menyertai parti baru, beliau yakin dapat menarik lebih ramai penyokong baru kepada BN seperti mana yang dilakukannya melalui Kelab Penyokong BN.

"Saya ada keupayaan untuk tarik orang luar menyokong BN dan saya akan kuatkan parti baru yang akan disertai ini," katanya.

Murugiah berkata beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan jika diterima menyertai MIC atau Gerakan.

"Saya nak jadi ahli cukup, saya bukan nak minta jawatan tinggi. Dalam hal ini saya mesti adil kepada orang lain atau penyandang sedia ada. Takkan tiba-tiba masuk nak jawatan naib presiden dan sebagainya. Saya hanya perlukan platform untuk berbakti kepada rakyat," tambahnya.

-Bernama-

Tiada ulasan: