"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambaran Alat Sulit Berbeza Bebaskan Peniaga

SALWA SHA’ARI
SHAH ALAM:
Ia mungkin kedengaran kelakar, tetapi gambaran alat sulit yang berbeza telah menyelamatkan seorang peniaga daripada meneruskan hukuman penjara selama 38 tahun dan sebatan 12 kali atas tuduhan merogol anak kandungnya, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Dr Badariah Sahamid membuat keputusan pada Jumaat, untuk melepas dan membebaskan lelaki berusia 52 tahun itu selepas menerima rayuannya terhadap hukuman dan sabitan.

Selain gambaran alat sulit yang berbeza, Badariah juga menyentuh laporan perubatan yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen sebelum ini sebagai palsu yang turut diakui sendiri oleh pegawai perubatan terlibat, Dr M.Menaga dalam keterangannya.

Semasa itu, Menaga menafikan tandatangan itu miliknya dan menolak sepenuhnya kejadian rogol telah berlaku, sebaliknya berpendapat kesan koyakan mungkin disebabkan benda tumpul seperti hujung pensel atau perbuatan onani.

Justeru itu, Badariah memutuskan bahawa laporan perubatan itu tidak boleh diterima di mahkamah.

Beliau menambah, adalah tidak selamat untuk menyabitkan perayu terhadap pertuduhan berdasarkan keterangan mangsa yang tidak disokong oleh emaknya dan juga pegawai penyiasat.

Oleh itu, beliau mendapati Hakim Mahkamah Sesyen Putrajaya, dekat sini yang menjatuhkan hukuman itu terhadap perayu pada 5 Februari lalu telah terkhilaf dari fakta dan undang-undang dalam menyabitkan perayu.

“Saya juga mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap perayu dan tidak sepatutnya perayu dipanggil untuk membela diri atas tuduhan itu,” tambahnya dan memerintahkan supaya perayu yang telah ditahan di penjara sejak empat tahun lalu dibebaskan.

Lelaki yang memakai baju penjara berwarna merah menangis dan menekup mukanya sebaik sahaja mendengar keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada peguam Boestaman Ahmad yang mewakilinya.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohd Adzhar.

Dia sebelum ini didakwa merogol anaknya yang berusia 14 tahun 3 bulan pada pukul 7 pagi, Mac 2006 di rumah di Taman Bukit Kenangan, Kajang, dekat sini dan didakwa mengulangi perbuatan itu pada pukul 12.45 malam, 23 April 2006.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: