"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tolak debat isu Felda, Mazlan gelar Ahmad Maslan 'penakut'

WAN NORDIN WAN YAACOB

Pengerusi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menggelarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad MAslan sebagai 'penakut' kerana menolak debat terbuka isu-isu membabitkan Felda.

Telahan itu dibuat Mazlan ketika ditemui selepas sidang media bersama Ahmad Maslan di Parlimen pada 8 Julai lalu,Mazlan menyerahkan surat jemputan debat kepada Ahmad Maslan sementara Ahmad Maslan hanya mahu 'berdialog'.

Beliau bimbang, ajakan dialog tersebut hanyalah bersifat untuk menutup banyak perkara yang berlaku dalam Felda dari mata umum terutamanya peneroka Felda yang tidak mendapat maklumat mengenai kewangan badan itu secara telus.

"Seperti ada yang mahu disembunyikan.Bagi saya apa salahnya kita berdebat dan masing-masing mengemukakan hujah agar rakyat mempertimbangkannya, perlu apa takut untuk berdebat jika dia (Ahmad Maslan) rasa dia dipihak yang benar," soal Mazlan lagi.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat menegaskan Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno itu sebenarnya takut untuk berdepan dengan rakyat.

Beliau menjelaskan, pemilihan debat dicadangkan ekoran beberapa siri dialog sebelum ini dilihat gagal menyelesaikan isu peneroka dan tidak mendatangkan hasil yang positif.

"Saya bukan nak cari publisiti kerana memilih debat, tetapi saya mahu rakyat sendiri tahu apa isu sebenar yang membabitkan Felda, isu penyelewengan, isu mengapa susutnya rizab tunai Felda, dan banyak lagi yang saya akan dedahkan.

"Saya mahu rakyat menjadi hakim. Kita mahu rakyat nilai mana yang betul mana yang salah. Dia (Ahmad Maslan) tak mahu debat tetapi memilih dialog. Ini tak selesaikan masalah, malah dialog ini dibuat biasanya tertutup, kemudian apa yang akan digambarkan dalam media akhirnya hanya suara sebelah pihak.

"Jalan terbaik adalah debat, dibuat secara langsung melalui stesen televisyen samada kerajaan mahupun swasta, kemudian khalayak Felda sebagai tetamu.Nak buat dimana sahaja saya tak kisah asalkan rakyat dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya," kata Mazlan ketika ditemui selepas sidang media.

Sementara itu Mazlan juga yakin 'ada benda yang disembunyikan' yang menyebabkan Ahmad Maslan 'enggan' berdebat secara terbuka, sebaliknya hanya mahu berdialog.

"Kalau dia tak takut, marilah berdebat, kenapa tak mahu debat?" katanya lagi.

Mazlan sebelum ini banyak mendedahkan isu membabitkan pentadbiran dan pengurusan Felda.

Beliau yang juga generasi kedua Felda memiliki pengalaman berhubung isu-isu Felda dan bersedia mendedahkan banyak lagi isu membabitkan agensi itu dalam masa terdekat.Mazlan kini dalam siri jelajahnya seluruh Malaysia bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan Felda dan tanah.

Beliau pernah ditahan di Temerloh awal tahun ini berikutan pembabitan seriusnya dalam isu-isu membabitkan Felda, namun penahanan itu tidak menjadikan beliau gentar.

Tiada ulasan: