"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekat pergaulan bebas, bukan kahwin awal

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 5 Ogos:
Cadangan Kerajaan Negeri Melaka memberikan kelonggaran kepada remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin bukan suatu penyelesaian jangka panjang, kata Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar).

Beliau berkata, kebenaran perkahwinan di awal usia bukan isu pokok sebaliknya yang harus diberikan perhatian adalah seluruh sistem kehidupan yang diamalkan di negara ini.

"Kerajaan tidak melihat penyelesaian yang lebih jauh. Penyelesaiannya bukan terletak kepada pelajar diberi kahwin awal tapi penyelesaiannya sistem itu sendiri iaitu sistem pembelajaran, pendidikan, dan sosial.

"Sistem yang ada di negara kita ini jauh menyimpang dari al-Quran. Contohnya sekarang ini di sekolah-sekolah atau di mana sahaja banyak program yang menyebabkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

"Ini menyebabkan berlakunya masalah hamil dan anak luar nikah di negara kita begitu ketara sekali," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga berkata, kerajaan seharusnya mengambil langkah pencegahan dengan menyekat segala aktiviti dan tempat-tempat yang boleh membuka ruang kepada remaja bergaul bebas seterusnya terjerumus ke kancah penzinaan.

"Selain daripada kita mengkaji balik cadangan perkahwinan awal itu, kita kena melihat dari segi peraturan, penguatkuasaan undang-undang yang ada dari segi kawalan sistem itu sendiri supaya perkara ini menjurus ke arah mengawal maksiat ini daripada berlaku.

"Sekarang kerajaan baik, rakyat baik, harus menjauhi daripada segala bentuk yang dapat mendekatkan diri dengan zina," ujarnya.

Katanya juga, keputusan membenarkan pelajar yang masih bersekolah itu berkahwin dibimbangi menyebabkan masalah keciciran dalam akademik akibat tidak dapat mengendalikan rumah tangga dengan baik.

"Perlu juga melihat sejauh mana pelajar yang berkahwin itu bertanggungjawab terhadap perkahwinannya. Kita bimbang tidak sampai kepada hala tuju dan penyelelesaiannya. Saya takut mereka yang berkahwin akan keciciran dalam pelajaran kerana tidak ada penyelesaian terhadap sara hidup. Jadi tidak selesaikan masalah," katanya lagi.

Ujarnya, kerajaan Umno Barisan Nasional harus melihat keseluruhan sistem Islam, bukan mengambil sebahagian sahaja yang memberi kebaikan kepada mereka.

"Saya minta kerajaan melihat Islam secara keseluruhan, bukan sudut-sudut tertentu yang mendatangkan kebaikan kepada mereka," ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Kerajaan Negeri Melaka membuat kajian secara mendalam sebelum memberi kelulusan bagi membenarkan pelajar sekolah berkahwin awal bagi mengelakkan kesan negatif di kemudian hari.

Majlis Agama Negeri Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah memberi kelonggaran bernikah kepada pelajar lelaki di bawah umur 18 tahun dan bawah 16 tahun bagi pelajar perempuan.

Tiada ulasan: