"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

45 Peserta Ramadhan di Gaza berlepas malam ini

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 6 Ogos:
Seramai 45 peserta misi konvoi Ramadhan di Gaza (Radig) akan berlepas malam ini ke Kaherah, sebelum memasuki Gaza pada 9 Ogos ini.

Misi kemanusiaan ini adalah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Menurut ketua delegasi Radig, Mohd Azmi Abdul Hamid yang juga setiausaha Mapim, kesemua peserta Radig dijangka berada di Gaza selama seminggu, sebelum kembali ke Malaysia pada 18 Ogos.

"Malam ini kita berlepas dari KLIA dan transit di Amman sebelum sampai di Kaherah esok pagi. 8 haribulan pagi kita bertolak dengan menaiki empat buah van ke Arish yang mengambil masa enam jam perjalanan.

"9 haribulan pagi, kita akan bertolak ke Rafah dan masuk ke Gaza pada tengahari," katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Azmi memberitahu, seramai lapan wanita turut menyertai Radig termasuk ahli Parlimen Ampang dari PKR, Zuraida Kamarudin.

Peserta termuda merupakan remaja lelaki 14 tahun, dan yang peserta paling tua berusia 66 tahun.

Keseluruhan peserta katanya terdiri daripada bekas Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia, Ghani Shamsuddin, ahli politik, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan beberapa wakil media.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, selain bertemu penduduk Gaza dan menyampaikan bantuan kepada mereka, peserta Radig juga diagihkan kepada lapan kumpulan untuk melakukan penyelidikan berkaitan keperluan mereka.

"Kita akan membuat lawatan ke lapan buah kem pelarian yang dikendalikan PBB, misi mencari maklumat iaitu mengenai status pendidikan, infrastruktur, keadaan masjid, status kanak-kanak dan wanita di sana, dan mencari fakta kedudukan sekolah dan agensi yang sedang berfungsi di sana.

Tambahnya, segala maklumat yang dikumpulkan akan didokumentasikan sebagai laporan untuk rujukan rakyat Malaysia untuk diambil tindakan selanjutnya.

Selain itu katanya, laporan harian mengenai aktiviti mereka di sana akan disiarkan melaui radio Bernama pada setiap hari.

"Kita akan memberikan laporan aktiviti di sana ada setiap hari dan akan disiarkan di radio Bernama," katanya.

Beliau turut meminta seluruh rakyat mendoakan keselamatan peserta Radig sepanjang menjalankan misi di sana dan dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

"Kami berharap apa yang telah dirancang dapat dilaksanakan di sana dan semua peserta dapat pulang dengan selamat," katanya.

Tiada ulasan: