"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekolah pelajar hamil bukti perzinaan serius

Mohd Ali Hashim
ALOR SETAR, 6 Ogos:
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, cadangan Kerajaan Negeri Melaka untuk mewujudkan sekolah khas bagi pelajar hamil menggambarkan betapa serius dan dahsyatnya perzinaan dan kemungkaran berlaku di dalam masyarakat hari ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan yang berlaku ini adalah disebabkan kegagalan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang memerintah harus berani berperanan bagi mencegah kemungkaran dan bukannya memelihara hasil dari perbuatan mungkar tersebut,” katanya.

Katanya, kerajaan yang memerintah tidak berusaha dengan serius ke arah menentang kemungkaran tersebut.

“Apa yang mereka lipatgandakan usaha ialah kempen membayar zakat. Mana ada kempen menentang zina. Pegawai-pegawai di pejabat agama hanya turun padang untuk banteras khalwat,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat.

Namun begitu, katanya tiada pendidikan yang diberikan kepada kumpulan yang ditangkap itu yang menunjukkan BN sebenarnya gagal untuk membawa Islam dan syariat kepada umat Islam sepenuhnya.

Tambah beliau lagi, walaupun negara mempunyai Pusat Islam, Jakim, Yadim setiap negeri mempunyai jabatan dan majlis agama serta mufti tetapi sehingga hari ini umat Islam tidak dapat hidup dalam tuntutan syariat Islam yang sebenar.

Tambahnya, Umno dan BN sememnangnya gagal untuk membentuk peribadi masyarakat, maka rakyat harus berani untuk membina politik baru.

“Setelah begitu ramai mengandung anak luar nikah baru hendak diwujudkan sekolah, akhirnya rakyat menjadi mangsa kepada sistem pentadbiran yang ada sehingga imej negara dan agama tercemar," ujarnya lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain pula berpandangan dengan wujudnya sekolah itu di Melaka, dibimbangi wujudnya unsur-unsur menghalalkan atau mengiktiraf perzinaan.

Akhirnya, kata beliau akan memberi peluang baru kepada remaja dan generasi muda yang cetek pengetahuan agama untuk terus terlibat dengan aktiviti negatif itu.

"Cadangan Kerajaan Melaka itu harus dilihat dari skop yang luas supaya ia tidak memberi satu pengiktirafan yang memungkinkan berleluasanya kegiatan mungkar ini setelah ruang disediakan bagi mereka melahirkan anak luar nikah,” ujarnya.

Tiada ulasan: